Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Membentuk Masa Depan AI :Malaysia Menganjurkan Sidang Kemuncak Berpengaruh

4 mins
·

KENYATAAN MEDIA

MEMBENTUK MASA DEPAN AI: MALAYSIA MENGANJURKAN SIDANG KEMUNCAK BERPENGARUH

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 (AAIMS2025) pada 12 hingga 13 Ogos di MITEC, Kuala Lumpur. Acara utama ini diadakan sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.

Anjuran Kementerian Digital dengan sokongan Pejabat AI Kebangsaan, sidang kemuncak ini merupakan detik penting dalam perjalanan digital ASEAN. Bertemakan “Memacu Pembangunan AI yang Mampan dan Inklusif di ASEAN”, AAIMS2025 akan menghimpunkan lebih 1,500 delegasi termasuk menteri-menteri, ahli akademik, usahawan, pemimpin belia, pakar teknologi dan kumpulan masyarakat AI.

Sidang kemuncak sulung ini selaras sepenuhnya dengan falsafah MADANI negara yang mengutamakan empati, kelestarian dan keadilan, mencerminkan komitmen Malaysia terhadap inovasi yang inklusif dan berteraskan komuniti. Malaysia menggariskan visi masa depan di mana teknologi AI dimanfaatkan untuk kesejahteraan komuniti dan memartabatkan setiap lapisan rakyat.

Malaysia berbangga menerajui usaha membentuk halatuju bersama ke arah inovasi yang memperkasa, melindungi dan memajukan semua pihak, ketika AI mengubah landskap ekonomi dan masyarakat. ASEAN perlu tampil sebagai peneraju dalam transformasi global ini.

Sidang kemuncak ini akan berfungsi sebagai platform berprofil tinggi untuk menyelaraskan strategi kebangsaan, menyeragamkan standard tadbir urus data, serta membuka peluang inovasi rentas sempadan. Perbincangan akan merangkumi kedaulatan AI, inovasi, penyelarasan peraturan, infrastruktur digital awam, dan pembangunan bakat.

AAIMS2025 digerakkan berdasarkan lima tonggak strategik utama:

• Memperkasa Rakyat

• Merangsang Inovasi Perniagaan

• Mengangkat Belia sebagai Pemimpin AI

• Memperkukuh Ekosistem AI Serantau

• Memacu Kesiapsiagaan Dasar dan Penjenamaan Global

Antara acara utama yang bakal menyerikan sidang kemuncak ini termasuk Pameran Super AI Malaysia, Pameran Perdagangan AI ASEAN, Meja Bulat Menteri, Kaukus Belia AI, dan AI Code Fest, selain pembentangan ucaptama oleh pemimpin industri dan tokoh perubahan bertaraf global.

Sidang kemuncak ini merupakan peluang untuk memastikan masa depan AI mencerminkan nilai-nilai bersama ASEAN iaitu maruah, kesaksamaan dan semangat kemasyarakatan. Dengan kerjasama antara kerajaan, industri, belia dan masyarakat sivil, kita dapat memacu inovasi secara bertanggungjawab, membina kepercayaan, dan menjadikan AI sebagai pemangkin kebaikan di seluruh rantau ini.

Malaysia mengalu-alukan penyertaan semua pihak berkepentingan termasuk industri, pelajar, usahawan dan masyarakat sivil untuk bersama-sama menyertai AAIMS2025 dan menyumbang kepada pembentukan masa depan AI yang mampan, inklusif serta berteraskan nilai-nilai bersama.

YB GOBIND SINGH DEO

Menteri Digital

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri

Kementerian Digital

8 Ogos 2025


08082025_SIARAN MEDIA_MEMBENTUK MASA DEPAN AI MALAYSIA MENGANJURKAN SIDANG KEMUNCAK BERPENGARUH.pdf

0.12MB

08082025_PRESS RELEASE_SHAPING THE FUTURE OF AI_ MALAYSIA HOSTS LANDMARK SUMMIT.pdf

0.13MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025