Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Memperkasakan AI Untuk Pembuat Dasar (POLICYMAKERS)

5 mins
·

SIARAN MEDIA BERSAMA

Memanfaatkan AI untuk Pemerkasaan Dasar dan Tadbir Urus Berwibawa

Inisiatif AI untuk Pembuat Dasar melengkapkan Ahli Parlimen dengan pengetahuan AI

KUALA LUMPUR, 24 Februari 2025 – Malaysia terus mengorak langkah dalam mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama dalam tadbir urus yang berkesan. Inisiatif AI untuk Pembuat Dasar (AI for Policymakers) telah diperkenalkan hari ini di Parlimen menerusi reruai selama dua hari (24-25 Februari 2025) yang bertujuan untuk memberi pendedahan penting kepada Ahli Parlimen mengenai AI, amalan terbaik global, dan penggunaan data dalam dasar awam. Inisiatif ini akan diteruskan dengan sesi latihan khas untuk Ahli Parlimen pada 28 Februari 2025.

Inisiatif rintis ini merupakan usahasama antara Parlimen Malaysia, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Pusat Kepimpinan Tadbir Urus dan Demokrasi, Universiti Antarabangsa UNITAR, dan Microsoft.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, dengan kehadiran Ketua NAIO, Shamsul Izhan bin Abdul Majid; Naib Canselor, Universiti Antarabangsa UNITAR, Professor Emeritus Tan Sri Dato Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Bin Abu Bakar, serta Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si. Menteri Digital, Gobind Singh Deo turut meluangkan masa melawat tapak pameran.

AI kini menjadi pemacu utama dalam pembentukan dasar global, dan Malaysia mengambil langkah proaktif untuk memastikan kepimpinan negara bersedia dan diperkasakan dalam mengemudi masa depan berteraskan AI. Dengan memahami keupayaan, impak, serta risikonya, pembuat dasar dapat merangka polisi strategik, memperkukuh daya saing negara, dan melindungi kepentingan rakyat. Inisiatif ini turut diperluaskan kepada pegawai Parlimen melalui latihan berstruktur dalam penerapan AI, penggunaan bertanggungjawab, dan tadbir urus beretika bagi meningkatkan keberkesanan dasar.

Berlandaskan model Quadruple Helix, inisiatif ini menggabungkan pihak kerajaan, akademia dan industri, bagi membentuk ekosistem AI yang kukuh serta bersedia menghadapi masa depan, dengan rakyat sebagai tunjang transformasi AI. Integrasi AI dalam pentadbiran dijangka mempertingkatkan kecekapan dasar, memperkukuh tadbir urus AI beretika, dan mempercepatkan transformasi digital negara.

Program AI untuk Pembuat Dasar ini merangkumi reruai berkenan AI Bertanggungjawab dan Tadbir Urus AI, peluang peningkatan kemahiran dalam AI, serta demonstrasi bagaimana AI dapat memperkasa peranan pembuat dasar. Program latihan berperingkat juga akan diperkenalkan kepada Ahli Parlimen dan pegawai Parlimen bagi memperkukuh pemahaman mereka terhadap impak AI dalam pentadbiran. Latihan ini membolehkan mereka menganalisis cabaran masa depan berasaskan data dan penyelidikan serta merangka dasar yang memanfaatkan AI bagi pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial, dan pemantapan kepercayaan digital.

Inisiatif ini melengkapi usaha NAIO dan Microsoft menerusi program ‘AI for Malaysia’s Future’ yang menyasarkan peningkatan kemahiran AI kepada 800,000 rakyat Malaysia menjelang akhir 2025. Ia juga selari dengan laporan The Future of Malaysia’s AI Governance yang diterbitkan oleh MyDIGITAL Corporation dengan kerjasama ISIS Malaysia dan Microsoft. Inisiatif ini turut menyokong program ‘AI at Work’ yang telah dilancarkan baru-baru ini bagi melengkapkan 445,000 penjawat awam dengan keupayaan AI generatif untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

Komitmen Malaysia terhadap AI bukan sekadar untuk meningkatkan kecekapan, tetapi juga bagi membina kepercayaan, ketelusan, dan keterangkuman dalam pentadbiran. Kerajaan akan terus menjalin kerjasama strategik dengan pemimpin teknologi global dan tempatan untuk mempercepatkan penyelesaian berasaskan AI, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, dan menarik pelaburan -- meletakkan asas bagi Malaysia yang lebih pintar, mampan, dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat menerusi inovasi AI.

TAMAT

Dikeluarkan oleh:

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Digital


24022025_KENYATAAN MEDIA_MEMPERKASAKAN AI UNTUK PEMBUAT DASAR (POLICYMAKERS).pdf

0.20MB

24022025_PRESS RELEASE_HARNESSING AI FOR POLICYMAKERS.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025