Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Modul Etika Siber Nasional Di Sekolah Seluruh Negara Akan Dilancarkan Pada Jan 2026

3 mins
·

KENYATAAN MEDIA

MODUL ETIKA SIBER NASIONAL DI SEKOLAH SELURUH NEGARA AKAN DILANCARKAN PADA JAN 2026

Peningkatan dalam permainan digital dan pelbagai program dalam talian menjadikan pemupukan etika siber dalam kalangan belia kita semakin kritikal. Walaupun kita menggalakkan kanak-kanak untuk mendalami dunia digital, adalah penting untuk kita menyemai amalan digital yang beretika dan selamat apabila mereka berada di alam maya.

Bagi menangani keperluan ini, Kementerian Digital telah membangunkan Modul Etika Siber Nasional (ESN). Ia dijalankan dengan kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan. Ini selaras dengan pendekatan Whole-ofGovernment di bawah Kerajaan MADANI.

Modul ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar tentang keselamatan dan etika dalam talian dengan menyediakan panduan komprehensif tentang cara menggunakan Internet dan media sosial secara berhemat, bertanggungjawab, dan selamat.

ESN distrukturkan kepada enam topik utama — Kefasihan Digital, Etika Digital, Kesihatan dan Kesejahteraan Digital, Perdagangan Digital, Privasi dan Keselamatan Digital, dan Hak dan Tanggungjawab Digital. Modul ini merupakan sebahagian daripada program CyberSAFE di sekolah. Ia telah diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan pada 22 Julai 2025.

Susulan penyerahan tersebut, Kementerian Pendidikan kini menerajui pelaksanaan menyeluruh di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, kekal sebagai rakan teknikal.

Sokongan berterusan daripada CyberSecurity Malaysia termasuk:

• Menyediakan input keselamatan siber terkini, termasuk ancaman baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) generatif, aplikasi chatbot, dan permainan dalam talian.

• Menyediakan latihan teknikal dan sokongan kurikulum digital kepada wakil daripada Kementerian Pendidikan dan guru-guru jurulatih utama.

• Memantau dan menilai keberkesanan kandungan modul bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Digital.

Fasa rintis ESN sedang dijalankan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara pada masa ini. Ini adalah untuk menilai keberkesanan modul. Fasa pengukuhan modul dijadualkan pada akhir tahun 2025, menggabungkan penambahbaikan berdasarkan maklum balas daripada fasa rintis.

Latihan dalam talian bagi pegawai dari Kementerian Pendidikan mengenai pengurusan kebangsaan ESN akan bermula bulan hadapan. Pelaksanaan penuh ESN dijadualkan bermula pada Januari 2026.

Kementerian Digital akan terus menyokong Kementerian Pendidikan dalam usaha kita untuk mewujudkan generasi pengguna digital yang beretika, menghormati, dan berwaspada. Dengan mempelajari dan mengamalkan amalan digital yang selamat, anak muda kita akan dapat menyumbang dengan lebih baik kepada ekosistem digital negara.

GOBIND SINGH DEO

Menteri Digital

5 November 2025

-TAMAT-


05112025_SIARAN MEDIA_MODUL ETIKA SIBER NASIONAL DI SEKOLAH SELURUH NEGARA AKAN DILANCARKAN PADA JAN 2026.pdf

0.18MB

05112025_PRESS RELEASE_NATIONAL CYBER ETHICS MODULE IN SCHOOLS NATIONWIDE TO ROLL OUT IN JAN 2026.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025