Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

MyGOV Malaysia Mencatatkan Lebih 1 Juta Muat Turun,Menyediakan 38 Perkhidmatan Melibatkan 13 Agensi Kerajaan

3 mins
·

KENYATAAN MEDIA

MYGOV MALAYSIA MENCATATKAN LEBIH 1 JUTA MUAT TURUN, MENYEDIAKAN 38 PERKHIDMATAN MELIBATKAN 13 AGENSI KERAJAAN

PUTRAJAYA – Aplikasi MyGOV Malaysia yang diperkenalkan untuk menyatukan ekosistem perkhidmatan awam telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada rakyat.

Sejak pelancaran versi beta pada 27 Februari 2025 sehingga kini, MyGOV Malaysia telah mencatatkan lebih dari 1 juta muat turun. Pencapaian ini mencerminkan keyakinan tinggi rakyat terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam melalui platform digital yang lebih tersusun, selamat, dan mesra pengguna.

Setakat ini, MyGOV Malaysia menyediakan 38 perkhidmatan yang melibatkan 13 agensi kerajaan, merangkumi fungsi semakan serta penyediaan pautan terus ke perkhidmatan kerajaan berkaitan. Proses integrasi ini dilaksanakan secara berterusan dan berfasa, dengan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan berimpak tinggi dan kerap digunakan, termasuk urusan permohonan serta pembayaran.

MyGOV Malaysia tidak menggantikan aplikasi kerajaan sedia ada namun akan terus memantau corak penggunaan serta keperluan rakyat sebelum mempertimbangkan sebarang langkah penyelarasan aplikasi kerajaan pada masa hadapan.

Selari dengan hasrat memperkukuh pengalaman pengguna, Kementerian Digital kini sedang meneroka keupayaan AI Agentik (Agentic AI) bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Inisiatif ini bertujuan membolehkan aplikasi berfungsi secara lebih pintar dan proaktif, sekali gus membantu pengguna mengguna perkhidmatan dengan lebih lancar serta mengurangkan kerumitan urusan birokrasi digital.

Dalam masa yang sama, Kementerian Digital akan melaksanakan program “Citizen Labs” di seluruh negara sebagai platform libat urus yang inklusif. Melalui pendekatan ini, rakyat berpeluang memberikan maklum balas secara langsung dan terlibat dalam proses penciptaan bersama (co-creation) bagi memastikan MyGOV Malaysia sentiasa relevan dengan keperluan semasa pengguna.

Aspirasi Kerajaan MADANI adalah untuk melihat MyGOV Malaysia menjadi "The Single Gateway" yang benar-benar dipercayai oleh setiap lapisan masyarakat. Kita bukan sekadar membina aplikasi, tetapi kita sedang membina jambatan digital yang menghubungkan rakyat dengan Kerajaan tanpa batasan waktu dan tempat.

Saya berharap agar inovasi ini menjadi pemangkin kepada transformasi budaya kerja digital yang lebih pantas, telus, dan inklusif, selaras dengan matlamat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang disegani di rantau ini.

YB GOBIND SINGH DEO Menteri Digital 20 Januari, 2026

/TAMAT/

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri Digital


20012026_SIARAN MEDIA_MYGOV MALAYSIA MENCATATKAN LEBIH 1 JUTA MUAT TURUN.docx.pdf

0.11MB

20012026_PRESS RELEASE_MYGOV MALAYSIA RECORDS OVER 1 MILLION DOWNLOADS, OFFERING 38 SERVICES ACROSS 13 GOVERNMENT AGENCIES.pdf

0.11MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026