Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Pembukaan Peluang Baharu Melalui Integrasi Strategik Teknologi Blok Rantai (Blockchain)

3 mins
·

SIARAN MEDIA

PEMBUKAAN PELUANG BAHARU MELALUI INTEGRASI STRATEGIK TEKNOLOGI BLOK RANTAI (BLOCKCHAIN)

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2025 – Kementerian Digital hari ini menegaskan komitmennya dalam memupuk ekosistem blok rantai yang dinamik dan inovatif di Malaysia. Komitmen ini dizahirkan susulan penganjuran sesi Meja Bulat Industri Blok Rantai yang berlangsung dengan jayanya sempena Minggu Blok Rantai Malaysia (Malaysia Blockchain Week – MYBW).

Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo telah mengadakan pertemuan dengan 15 tokoh terkemuka industri semasa sesi meja bulat tersebut. Perbincangan ini memberi tumpuan kepada strategi-strategi yang boleh dilaksanakan bagi mempercepatkan pertumbuhan dan penerapan teknologi blok rantai merentasi pelbagai sektor di negara ini. Pandangan dan input yang diperoleh amat penting dalam mempercepatkan transformasi digital Malaysia.

“Blok rantai bukan sekadar teknologi – ia adalah pemangkin kepada kepercayaan. Apabila digabungkan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Web3, blok rantai membuka peluang yang luar biasa dalam bidang seperti tadbir urus pintar, kewangan terdesentralisasi, integriti rantaian bekalan, identiti digital, dan perkongsian data yang selamat,” kata YB Tuan Gobind Singh Deo.

Bagi memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan inovasi digital, YB Tuan Gobind Singh Deo memaklumkan bahawa Kementerian Digital akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja Aset Digital dan Blok Rantai yang khusus. Jawatankuasa ini akan berperanan sebagai platform utama untuk meneroka peluang inovasi, menangani isu kejelasan peraturan, serta membimbing pelaksanaan strategik teknologi blok rantai merentasi pelbagai sektor. Penubuhan jawatankuasa ini mencerminkan pendekatan proaktif Kementerian Digital dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan para inovator dalam ruang aset digital.

“Saya komited untuk membangunkan dasar, infrastruktur dan insentif yang diperlukan bagi menyokong penerapan teknologi blok rantai secara meluas merentasi pelbagai industri,” tambah YB Tuan Gobind Singh Deo.

Sementara itu, lebih 2,000 peserta dari lebih 10 negara akan menghadiri MYBW yang berlangsung hari ini dan esok di Pusat Dagangan Dunia. Acara antarabangsa ini menampilkan siri sesi panel yang dikendalikan oleh tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang blok rantai seperti Alen Svanevik, Ketua Pegawai Eksekutif Nansen; Yoann Turpin, Pengasas Bersama Wintermute; Gracy Chen, Ketua Pegawai Eksekutif Bitget; dan Dominik Schiener, Pengasas Bersama IOTA.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri,

Kementerian Digital.


21072025_SIARAN MEDIA_PEMBUKAAN PELUANG BAHARU MELALUI INTEGRASI STRATEGIK TEKNOLOGI BLOK RANTAI (BLOCKCHAIN).pdf

0.11MB

21072025_PRESS RELEASE_OPENING NEW OPPORTUNITIES VIA STRATEGIC INTEGRATION OF BLOCKCHAIN.pdf

0.13MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025