SALUTASI
1. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar
Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
2. Yang Berusaha Tuan Ma Sivanesan Marimuthu
Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
3. Encik Alex Liew
Pengerusi, PIKOM
4. Encik Alex Loh
Timbalan Pengerusi, PIKOM
5. Yang Berusaha Encik Adrian Marcellus
Ketua Pegawai Eksekutif, MyDigital Corporation
6. Yang Berusaha Encik Anuar Fariz Fadzil
Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC
7. Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Soh Thian Lai
Presiden, FMM
8. Yang Berbahagia Datuk Ng Yih Pyng
Presiden, ACCCIM
9. Encik Ong Chin Seong
Pengarah Urusan, Powerware Systems
Tetamu Kehormat, Ahli-ahli PIKOM yang Dihargai, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat petang.
1. Terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya ke majlis pada malam ini.
2. Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia, atau lebih dikenali sebagai PIKOM, sentiasa menjadi suara penting kepada sektor teknologi negara yang dinamik. Suara ini amat bernilai kerana ia membolehkan kita mendengar pandangan, idea, dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti digital kita. Pandangan anda merupakan komponen penting dalam proses penggubalan dasar negara.
3. Pada masa yang sama, PIKOM telah lama mengiktiraf kisah-kisah kejayaan dalam industri. Namun, majlis anugerah pada malam ini melangkaui sekadar piala. Ia adalah tentang mengiktiraf para inovator, pemimpin, dan penggerak perubahan yang sedang membentuk masa depan digital Malaysia.
4. Hasil usaha para inovator, pemimpin, serta rakan-rakan mereka inilah, ekonomi digital negara kita terus berkembang kukuh. Ekonomi digital Malaysia kini berada pada landasan untuk menyumbang 25.5% kepada KDNK negara menjelang akhir tahun ini.
5. Pencapaian ini adalah bukti keyakinan yang diberikan oleh pelabur global dan juara tempatan terhadap masa depan digital negara kita.
6. Malah, hanya dalam suku tahun kedua sahaja, pelaburan digital meningkat lebih 125%, dengan komitmen melebihi RM42 bilion. Komitmen ini sedang mewujudkan puluhan ribu pekerjaan berkemahiran tinggi.
7. Kita juga sedang menyaksikan kemunculan pesat pusat data, hab AI, dan penggunaan teknologi awan. Semua ini dipacu oleh pelaburan daripada peneraju teknologi global serta disokong oleh kedudukan strategik Malaysia di rantau ASEAN.
8. Namun, bersama pertumbuhan ini datang tanggungjawab yang besar. Hanya pada tahun lalu sahaja, Malaysia berdepan dengan ribuan insiden keselamatan siber yang mengakibatkan kerugian melebihi RM1.5 bilion. Atas sebab itu, kerajaan telah melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025–2030, yang memberi tumpuan kepada perlindungan infrastruktur kritikal, tadbir urus yang kukuh, inovasi, serta kesedaran awam.
9. Malaysia juga berbangga kerana menjadi tuan rumah kepada International Multilateral Partnership Against Cyber Threats (IMPACT) di Cyberjaya, sebuah pakatan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatukan lebih daripada 150 buah negara. Pengiktirafan global ini mengukuhkan lagi kepimpinan kita dalam bidang keselamatan siber dan menunjukkan kesediaan kita untuk bekerjasama merentasi sempadan.
KERAJAAN MADANI MENDENGAR SUARA ANDA
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Perjalanan digital negara kita dipacu oleh acara-acara penting seperti Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL2025), SmartGov Malaysia 2025 dan Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit, yang akan berlangsung minggu hadapan (17–19 September) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Sementara itu, CyberDSA edisi ketiga pula dijadualkan pada akhir bulan ini. Kesemua acara ini merupakan sebahagian daripada perjalanan Malaysia menuju aspirasi menjadi sebuah Negara AI.
11. Pelancaran Dasar Pengkomputeran Awan Kebangsaan baru-baru ini menegaskan komitmen kita untuk membina infrastruktur digital yang kukuh, selamat dan berdaulat. Dasar ini memberikan kejelasan dan hala tuju kepada pemain tempatan mahupun antarabangsa, sekali gus memastikan Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan dipercayai sebagai hab digital serantau.
12. Maka benar, Kerajaan MADANI ini telah mendengar suara anda dengan jelas. Justeru, semua inisiatif, program dan dasar yang sedang berjalan dan yang akan datang dirangka untuk memastikan industri mendapat manfaat dalam persekitaran yang telus, sihat dan terjamin keselamatannya. Ini adalah di samping pelbagai undangundang yang telah diperkenalkan dan dipinda.
13. Walaupun kita meraikan suara para inovator dan pemimpin industri, marilah kita sentiasa ingat bahawa rakyat mesti sentiasa menjadi penerima manfaat utama. Oleh itu, saya menyeru anda semua untuk berganding bahu memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam usaha kita menjadikan Malaysia sebuah negara digital.
14. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada PIKOM. Tahun demi tahun, anda berada di barisan hadapan dalam mewakili suara industri, memperjuangkan pertumbuhan, serta merapatkan kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan akademia. Perhimpunan malam ini dan penganugerahan ini adalah cerminan kepada usaha tanpa mengenal penat lelah tersebut.
MASA DEPAN DIGITAL UNTUK SEMUA
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Para penerima anugerah malam ini — sama ada dalam bidang keselamatan siber, awan, ESG, infrastruktur digital, atau syarikat pemula (start-up) — mengingatkan kita bahawa kecemerlangan bukanlah pilihan; ia adalah tanggungjawab kita.
16. Saat kita melakar halatuju ke hadapan, marilah kita terus melabur dalam bakat, memperkukuh benteng digital negara, serta berinovasi secara bertanggungjawab dengan AI dan pengkomputeran awan. Dan yang paling penting, marilah kita memastikan manfaat pendigitalan dapat mengangkat setiap rakyat Malaysia, di setiap lapisan masyarakat. Saya ingin menegaskan sekali lagi — tiada siapa pun yang harus ditinggalkan dalam perjalanan digital kita.
17. Tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga pencapaian anda malam ini memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi untuk berani melangkaui sempadan dan mencipta impak. 18. Marilah kita terus mengangkat Made in Malaysia, Made by Malaysians.
Sekian, terima kasih.
#TAMAT#