Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Pakistan-Malaysia Techconnect 2025

10 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berhormat Mulia Jam Kamal Khan

Menteri Perdagangan Persekutuan, Pakistan

2. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar

Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

3. Encik Rafiq Ahmad Buriro

Setiausaha Tambahan, Kementerian Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi, Pakistan

4. Encik Sajjad Mustafa Syed

Pengerusi, Persatuan Industri IT Pakistan (P@SHA) Tetamu Kehormat,

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat petang.

1. Adalah satu penghormatan untuk bersama-sama berada di Persidangan Pakistan-Malaysia TechConnect 2025 pada hari ini. Malaysia dan Pakistan telah lama menjalin hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat. Hari ini, kita bertemu pada saat yang penting — ketika keduadua negara sedang berusaha memanfaatkan inovasi dan pendigitalan sebagai pemacu utama pertumbuhan masa hadapan.

KONTEKS GLOBAL DAN SERANTAU

2. Kita kini hidup dalam era perubahan digital yang semakin pesat. Daripada pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan hinggalah kepada perdagangan digital dan pembuatan pintar, teknologi bukan sahaja mentakrif semula ekonomi — malah sedang melakar semula peta peluang, khususnya bagi negara-negara Selatan Global.

3. Bagi Asia Tenggara dan Asia Selatan, inilah masa yang penuh harapan. Dengan populasi muda dan dinamik, ekosistem keusahawanan yang rancak, serta asas pengguna digital yang berkembang pesat, kedua-dua rantau ini merupakan sempadan pertumbuhan semula jadi. Persoalan yang wajar kita tanya ialah — bagaimana kita sebagai rakan boleh merebut peluang ini bersama-sama.

MOMENTUM DIGITAL MALAYSIA

4. Izinkan saya berkongsi sedikit tentang trajektori Malaysia sendiri. Pada suku kedua tahun ini, pelaburan digital di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD) telah meningkat sebanyak 125% berbanding suku sebelumnya, dengan jumlah hampir RM29.47 bilion (USD6.99 bilion).

5. Dalam separuh pertama tahun ini, sebanyak 261 syarikat yang diluluskan di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD) telah komited untuk melabur lebih daripada RM42.58 bilion (USD10.1 bilion), dengan potensi mewujudkan 17,495 pekerjaan berasaskan pengetahuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

6. Sektor utama yang memacu pertumbuhan ini termasuk pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan perniagaan global (GBS) — bidang berimpak tinggi di mana Malaysia sedang memposisikan dirinya sebagai hab serantau yang unggul.

7. Angka-angka ini bukan sekadar mencerminkan pembangunan infrastruktur dan teknologi, tetapi juga keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi yang stabil, berdaya tahan dan berpandangan jauh untuk inovasi digital.

MALAYSIA SEBAGAI RAKAN YANG DIPERCAYAI

Tuan-tuan dan Puan-puan,

8. Kisah kejayaan Malaysia sebagai negara digital berpaksikan kepada tiga tonggak utama: infrastruktur digital, kepercayaan digital, dan modal insan.

9. Pertama, dari segi infrastruktur. Malaysia kini sedang muncul sebagai hab pusat data ASEAN. Menjelang tahun 2035, Malaysia dijangka menempatkan dua pertiga kapasiti pusat data rantau ini — kedudukan yang diperkukuh oleh liputan 5G yang menyeluruh, kesalinghubungan awan yang canggih, serta ekosistem pemain berskala besar dan serantau yang semakin berkembang. Tulang belakang digital ini memastikan perniagaan yang beroperasi di Malaysia memiliki kelajuan, daya tahan dan kebolehskalaan untuk bersaing di peringkat global.

10. Kedua, kepercayaan digital. Kami menyedari bahawa inovasi mesti berasaskan kepercayaan. Justeru itu, Malaysia telah menggubal Akta Keselamatan Siber 2024 bagi melindungi infrastruktur kritikal, serta meminda Akta Perlindungan Data Peribadi untuk mewajibkan pemberitahuan pelanggaran data dan pelantikan Pegawai Perlindungan Data. Malaysia juga telah memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara, dan kini sedang merangka Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data yang akan memperkukuh tahap ketahanan siber negara.

11. Institusi adalah sama pentingnya dengan dasar. Penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO) pada tahun lalu memainkan peranan penting dalam menyelaras strategi AI Malaysia merentas pelbagai sektor. Seterusnya, penubuhan Suruhanjaya Data Negara akan menyediakan tadbir urus dan penyeliaan data bagi memastikan aliran data yang dipercayai serta perlindungan hak digital rakyat. Melengkapinya ialah pembangunan Pusat Data Nasional, yang akan berfungsi sebagai repositori set data berkualiti tinggi dan boleh beroperasi silang, untuk menyokong penyelidikan, inovasi dan aplikasi AI.

12. Ketiga, rakyat kita. Teknologi hanya sekuat bakat yang menggerakkannya. Menerusi inisiatif seperti Rakyat Digital, lebih 1.4 juta rakyat Malaysia telah menerima latihan dan pensijilan dalam bidang seperti AI, rantaian blok, awan dan keselamatan siber. Pada masa yang sama, Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO) bekerjasama rapat dengan rakan industri bagi memperkukuh keupayaan AI negara. Salah satu contoh terbaik ialah kerjasama dengan Microsoft, yang menyasarkan untuk melatih 800,000 rakyat Malaysia dalam kemahiran AI — memastikan tenaga kerja kita bukan sahaja bersedia untuk masa depan, tetapi juga berdaya saing di peringkat global.

13. Secara keseluruhannya, ketiga-tiga tonggak ini bukan sekadar usaha untuk mengejar perubahan — tetapi untuk membezakan Malaysia sebagai sebuah ekonomi digital yang dipercayai dan bersedia untuk masa depan, berpusat di jantung ASEAN.

14. Teras kepada visi ini ialah kecerdasan buatan (AI). Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), AI diiktiraf sebagai pemangkin strategik kepada pertumbuhan negara. Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026– 2030 yang bakal diperkenalkan akan menggariskan hala tuju Malaysia ke arah ekosistem AI yang bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global.

15. Pendekatan menyeluruh ini — meliputi infrastruktur, peraturan, dan bakat, yang disepadukan dengan perancangan jangka panjang — merupakan sebab mengapa Malaysia kini menjadi rakan pelaburan semula jadi serta peneraju dalam ekonomi digital ASEAN. BIDANG SINERGI BERSAMA PAKISTAN

16. Dalam konteks ini, kita melihat banyak keserasian dan potensi kerjasama erat dengan Pakistan.

A. Kedua-dua negara mempunyai populasi muda dan besar yang bersemangat untuk terlibat dalam ekonomi digital.

B. Kedua-duanya sedang memupuk ekosistem pemula niaga (startup) yang dinamik, dengan usahawan mencipta penyelesaian dalam bidang seperti fintech, agritech, healthtech dan e-dagang.

C. Kedua-duanya juga sedang melabur dalam infrastruktur digital dan pembangunan bakat, bagi memperkukuh asas inovasi masa hadapan.

17. Kekuatan bersama ini membuka ruang kepada kerjasama yang lebih mendalam — sama ada melalui perkongsian teknologi, rangkaian pelaburan, mahupun pertukaran pengetahuan dan kepakaran.

18. Malaysia mengalu-alukan peluang untuk meneroka sinergi ini dengan lebih lanjut, serta belajar daripada pengalaman dan inovasi Pakistan sendiri.

HUBUNGAN ASEAN–PAKISTAN

Tuan-tuan dan Puan-puan,

19. Apabila kita melihat melangkaui hubungan dua hala, adalah sama penting untuk menempatkan dialog ini dalam konteks kerjasama ASEAN– Pakistan yang lebih luas.

20. Malaysia bukan sahaja rakan strategik tersendiri, tetapi juga pintu gerbang ke ASEAN — sebuah rantau yang mempunyai hampir 700 juta penduduk, di mana 460 juta daripadanya ialah pengguna digital. ASEAN kini merupakan antara pasaran digital yang paling pesat berkembang di dunia, dengan nilai ekonomi digital yang dijangka mencecah sehingga USD2 trilion menjelang tahun 2030.

21. Pakistan telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini selama lebih tiga dekad. Sejak tahun 1993, apabila ASEAN dan Pakistan memeterai perkongsian dialog sektoral, hubungan ini terus berkembang secara konsisten. Apa yang dahulu berasaskan kerjasama ekonomi dan politik tradisional, kini telah melangkah ke bidang baharu seperti ekonomi digital, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta keselamatan siber.

22. Perkembangan ini mencerminkan realiti semasa dunia — di mana transformasi digital bukan lagi isu sampingan, tetapi telah menjadi pemacu utama daya saing, ketahanan dan keselamatan sesebuah negara.

23. Apabila ASEAN dan Pakistan memperkukuh hubungan dua hala, Malaysia — selaku Pengerusi ASEAN — bersedia memainkan peranan sebagai jambatan penghubung. Sama ada dalam memudahcara perdagangan digital, memastikan aliran data yang selamat dan dipercayai, atau menggalakkan kerjasama inovasi, Malaysia komited untuk menghubungkan Pakistan dengan lebih erat kepada kisah pertumbuhan dinamik ASEAN.

PENUTUP:

VISI BERSAMA

Tuan-tuan dan Puan-puan,

24. Kisah hubungan Malaysia dan Pakistan sentiasa berakar daripada persahabatan dan solidariti. Hari ini, kita mempunyai peluang untuk menulis lembaran baharu dalam kisah tersebut — yang berteraskan inovasi digital, pertumbuhan mampan, dan kemakmuran bersama.

25. Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Pakistan dalam meneroka bagaimana kedua-dua negara boleh menggerakkan visi ini bersamasama.

26. Hari ini, izinkan saya menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia bersedia sepenuhnya untuk era digital — berasaskan kepercayaan, dan terbuka untuk perniagaan.

Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


06102025_TEKS UCAPAN_PAKISTAN-MALAYSIA TECHCONNECT 2025.pdf

0.18MB

06102025_SPEECH_PAKISTAN-MALAYSIA TECHCONNECT 2025.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025