UCAPAN PERASMIAN
YB GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL
JUARA RANGKAIAN MYCENTRE4IR
PELANCARAN KLUSTER INDUSTRI PERALIHAN (TIC)
SARAWAK 11 JUN 2026 | 10.30
PAGI PUSAT KONVENSYEN BORNEO KUCHING, SARAWAK
SALUTASI
1.Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Premier Sarawak
2.Yang Berhormat Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kewangan & Ekonomi Baru Kedua, dan Menteri Pembangunan Infrastruktur & Pelabuhan
3.Yang Berhormat Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian
Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan & Kerajaan Tempatan Sarawak
4.Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nasar
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak
5.Yang Berhormat Menteri-Menteri
6.Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak
7.Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong
Timbalan Menteri Digital
8.Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Hazland bin Haji Abang Hipni
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak
9.Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri
10.Puan Gim Huay Neo
Pengarah Urusan, Forum Ekonomi Sedunia
11.Yang Berusaha Encik Adrian Marcellus
Ketua Pegawai Eksekutif, MyDigital Corporation dan Ketua Centre4IR Malaysia
Para Penandatangan TIC Sarawak,
Ketua-Ketua Jabatan dan Rakan Industri,
Ahli-Ahli Media,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.
1.Saya amat gembira dapat berada di Kuching hari ini sempena majlis yang sangat bersejarah ini.
2.Hari ini bukan sekadar pelancaran satu lagi program biasa. Hari ini adalah hari di mana Sarawak menjadi tuan rumah kepada Kluster Industri Peralihan (TIC) yang pertama di Malaysia di bawah inisiatif global Forum Ekonomi Sedunia. Dengan ini, Sarawak menyertai kumpulan eksklusif yang terdiri daripada kurang 40 buah TIC di seluruh dunia yang sedang membantu mencorakkan masa depan transformasi industri.
3.Ini merupakan satu pencapaian yang amat signifikan, bukan sahaja untuk Sarawak, malah untuk Malaysia. Ia mencerminkan cita-cita bersama kita untuk memperkukuh daya saing ekonomi, mempercepatkan peralihan industri, dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri masa hadapan.
4.Saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Kerajaan Negeri Sarawak, terutamanya Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty), yang mana kepimpinan dan komitmen mereka telah menjadi pendorong utama dalam merealisasikan TIC Sarawak. Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca-Covid 2030 telah memberikan visi dan asas kukuh yang membolehkan kejayaan besar ini dicapai.
5.Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan MYCentre4IR di bawah MyDIGITAL Corporation atas kepimpinan mereka dalam menyatukan para pemegang taruh (stakeholders) daripada pihak kerajaan, industri, akademik, dan komuniti antarabangsa demi menjadikan TIC Sarawak satu realiti.
6.Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Forum Ekonomi Sedunia, yang mana perkongsian strategiknya dengan Kerajaan Malaysia telah membawa kepada penubuhan MYCentre4IR sebagai sebahagian daripada Rangkaian Pusat Revolusi Industri Keempat global. Kejayaan menggembleng 25 penandatangan TIC di bawah satu kerangka tadbir urus bersama membuktikan apa yang mampu dicapai apabila institusi-institusi bekerjasama ke arah satu visi yang sama. Detik bersejarah yang kita raikan hari ini adalah refleksi langsung daripada usaha kolektif tersebut.
7.Ekonomi digital Malaysia kini telah menyumbang hampir satu perempat kepada KDNK negara kita. Di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kita sedang berusaha untuk meningkatkan sumbangan tersebut kepada 30 peratus menjelang tahun 2030, di samping mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi berkaitan digital untuk rakyat Malaysia. Dalam MD 2030, TIC merupakan satu inisiatif nasional yang dipacu bersama oleh Kementerian Digital dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
8.Bagi mencapai cita-cita ini, ia memerlukan lebih daripada sekadar kerangka dasar. Ia memerlukan platform sebenar yang mampu menterjemahkan keutamaan negara kepada hasil yang boleh diukur. TIC Sarawak adalah salah satu daripada platform tersebut. Dengan menyatukan transformasi industri, peralihan tenaga, dan inovasi digital, ia membuka peluang baharu untuk pelaburan, pewujudan peluang pekerjaan, serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
9.Kepentingan TIC Sarawak ini menjangkau jauh melampaui sempadan Sarawak sendiri. Di saat dunia berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat, gangguan rantaian bekalan, pasaran tenaga yang tidak menentu, serta persaingan pelaburan yang kian sengit, sesebuah negara harus memperkukuh daya tahan industri, keselamatan tenaga, dan daya saing ekonomi mereka.
10.Dalam persekitaran seumpama ini, peralihan industri bukan lagi sekadar satu tuntutan alam sekitar belaka. Ia merupakan satu keperluan ekonomi dan strategik. Negara-negara yang berjaya memastikan sumber tenaga yang lebih bersih, lebih dipercayai, dan lebih pelbagai akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menarik pelaburan, melindungi industri mereka, dan kekal berdaya saing di pasaran global.
11.Inilah sebabnya mengapa TIC amat penting. Industri-industri yang bakal meraih kejayaan dalam dekad yang akan datang ini tidak semestinya industri yang paling besar pada hari ini. Sebaliknya, ia adalah industri yang mampu menyesuaikan diri dengan paling cepat, terus berinovasi, dan kekal berdaya saing dalam ekonomi rendah karbon yang dipacu oleh teknologi.
12.Sarawak berada pada kedudukan unik untuk menerajui peralihan ini. Dengan sumber tenaga boleh baharu, kekuatan kuasa hidro, agenda hidrogen yang bercita-cita tinggi, keupayaan industri, serta visi jangka panjang di bawah PCDS 2030, Sarawak memiliki sebahagian besar ramuan yang diperlukan untuk menjadi peneraju serantau dalam pembangunan industri mampan dan pertumbuhan tenaga bersih.
13.Bidang keutamaan yang telah dikenal pasti di bawah TIC Sarawak mencerminkan cita-cita ini. Merentasi sektor Digital & 4IR, Tenaga, dan Bakat, fokus utama adalah untuk membina keupayaan yang diperlukan oleh industri untuk bersaing dalam ekonomi masa hadapan: melalui operasi yang lebih pintar, sistem industri yang lebih bersih, penggunaan data yang lebih baik, serta tenaga kerja yang bersedia mendepani masa depan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
14.Di sinilah Kementerian Digital memainkan peranan yang penting. Walaupun TIC Sarawak berteraskan transformasi industri dan tenaga, teknologi digital merupakan pemacu utama yang membolehkan transformasi ini berlaku pada skala yang besar. Lebih penting lagi, TIC Sarawak menyediakan platform dunia sebenar bagi Malaysia untuk memajukan cita-citanya menjadi sebuah Negara AI (AI Nation).
15.Visi kita untuk Negara AI 2030 (AI Nation 2030) bukan sekadar tentang menerima pakai teknologi baharu. Ia adalah tentang membina keupayaan nasional. Ia adalah tentang memastikan bahawa AI mencipta nilai untuk perniagaan, memperkukuh produktiviti, menyokong inovasi, dan menjana peluang ekonomi baharu untuk rakyat Malaysia. Bagi mencapai hasrat ini, kita memerlukan persekitaran di mana AI boleh diguna pakai secara bertanggungjawab dan pada skala yang besar, dan TIC Sarawak menyediakan persekitaran yang tepat untuk tujuan tersebut.
16.Peranan kami adalah untuk membina asas digital yang membolehkan industri beroperasi dengan lebih cekap, membuat keputusan yang lebih baik, dan kekal berdaya saing di peringkat global. Ini bermakna membolehkan penggunaan AI, analisis data, kembar digital (digital twins), dan automasi. Ia juga bermakna memastikan data dapat dikongsi secara selamat dan bertanggungjawab, serta menyediakan infrastruktur pengkomputeran AI, keupayaan awan (cloud), dan platform digital yang menyokong inovasi serta pertumbuhan.
17.Dalam pelbagai aspek, TIC Sarawak mewakili titik penumpuan bagi cita-cita industri, tenaga, dan AI Malaysia. Ia menunjukkan bagaimana teknologi sedang pesat membangun boleh melampaui peringkat eksperimen dan menjadi alat praktikal untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing, serta memacu pertumbuhan yang mampan.
18.Apa yang menjadikan TIC Sarawak ini amat bernilai adalah kerana ia bukanlah sebuah projek rintisan (pilot project) atau sekadar kerangka teori. Sebaliknya, ia adalah sebuah persekitaran industri sebenar yang dinamik, di mana teknologi boleh diguna pakai, diuji, dan diperluaskan skalanaya di bawah keadaan operasi yang sebenar.
19.Bagi syarikat-syarikat teknologi Malaysia, syarikat pemula (startups), penyepadu sistem (system integrators), dan bakat tempatan, ini membuka peluang untuk membangun serta melaksanakan penyelesaian buatan tempatan, membina kepakaran, dan memperkukuh kedudukan kita dalam rantaian nilai serantau dan global.
20.Pada masa yang sama, kita harus ingat bahawa teknologi sahaja tidak pernah mencukupi. Kejayaan akhirnya akan bergantung kepada modal insan. Sbb itulah pembangunan bakat kekal menjadi tunjang kritikal bagi TIC Sarawak. Melalui kerjasama erat dengan pihak industri untuk mengenal pasti keperluan kemahiran baharu serta membuka jalan bagi pembangunan tenaga kerja, kita dapat memastikan rakyat Malaysia dilengkapi dengan keupayaan untuk meraih manfaat daripada peluang yang tercipta melalui peralihan ini.
21.Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa MYCentre4IR telah menubuhkan Komuniti Rangkaian Risikan 4IR (4IR Intelligence Network Community). Platform ini menyatukan pihak kerajaan, industri, akademik, dan ekosistem teknologi untuk memperkukuh kerjasama serta menyokong penggunaan teknologi sedang pesat membangun secara bertanggungjawab, termasuk AI, kembar digital (digital twins), dan automasi industri. Maklumat lanjut mengenai perkara ini akan dikongsikan oleh MYCentre4IR dalam beberapa minggu akan datang.
22.Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan detik bersejarah ini: Kerajaan Negeri Sarawak, MEESty, Forum Ekonomi Sedunia, para penandatangan TIC dan rakan industri, serta seluruh pasukan MYCentre4IR kerana berjaya menyatukan pihak kerajaan, industri, akademik, dan para pemegang taruh antarabangsa di bawah satu cita-cita bersama.
23.Hari ini, kita melancarkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar sebuah kluster. Kita sedang melancarkan sebuah platform untuk inovasi, daya saing industri, kelestarian, dan peluang masa depan. Kita juga sedang membuktikan bagaimana cita-cita Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, dan pembangunan industri boleh digabungkan demi menghasilkan impak ekonomi yang sebenar.
24.Masa depan industri akan dicorakkan oleh mereka yang bersedia untuk menerajui perubahan, dan bukannya sekadar bertindak balas terhadapnya. Sarawak telah memilih untuk menerajui. Malaysia telah memilih untuk menerajui. Bersama-sama, kita akan membina masa depan yang lebih berdaya saing, lebih mampan, dan lebih makmur untuk seluruh rakyat Malaysia.
Terima kasih.
#TAMAT#