PEMBUKAAN PEJABAT AI KEBANGSAAN (NAIO) MEMBAWA MALAYSIA KE ERA TRANSFORMASI DAN INOVASI KECERDASAN BUATAN (AI)
Kuala Lumpur, 12 Disember 2024 – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini merasmikan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), sebuah inisiatif transformatif di bawah Kementerian Digital yang mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju dalam kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital di rantau ASEAN. Pelancaran ini menandakan detik penting dalam perjalanan Malaysia ke arah ekonomi AI yang berteraskan inovasi canggih, tadbir urus beretika, dan pembangunan bakat masa depan.
Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri berkata pewujudan NAIO mampu membina ekosistem digital yang kukuh yang “bantu memikir, merencana, menyelidik, menyelaras dan melaksana” serta memacu Malaysia ke arah inovasi daya cipta.
Beliau turut menambah tentang perlunya “perubahan paradigma terutama kepentingan kelestarian, kepentingan integriti, dan pengagihan kekayaan yang saksama” di samping memastikan “keupayaan anak-anak tempatan dalam membina perisian supaya apa yang dihasilkan oleh AI itu adalah data yang dimasukkan oleh kita, bukan hanya dimasukkan oleh pandangan barat atau timur atau sistem lain.”
Diluluskan oleh Kabinet Malaysia pada 28 Ogos 2024, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) ditubuhkan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta pemacu transformasi digital global. Dipandu oleh MyDIGITAL Corporation buat tahun pertama perlaksanaan, NAIO akan mengetuai usaha dalam penyelidikan, penerapan, dan pengkomersialan AI untuk memperkukuh ekonomi digital serta meningkatkan tahap perkhidmatan awam. Inisiatif ini juga bertujuan memupuk inovasi, memperkukuh kerjasama rentas sektor, dan mengintegrasikan AI dalam kerajaan, industri, dan masyarakat sambil mempromosikan pembangunan mampan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo dalam menekankan impak transformasi AI berkata, ““Adalah penting kita membawa AI ke semua sektor, menjangkau setiap lapisan masyarakat – daripada golongan muda hingga warga emas di setiap pelosok negara. Ini adalah untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dan semua rakyat mendapat manfaat daripada peralihan teknologi ini.
“Bayangkan sebuah negara di mana AI membantu para nelayan menentukan lokasi memancing terbaik; petani dapat mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan hasil ladang; dan membolehkan pihak berkuasa tempatan mengurus bencana alam secara proaktif. NAIO komited dalam memacu inovasi transformasi ini.
Mari kita sama-sama bina Negara AI, Sekarang.”
Sejurus selepas pelancaran, satu forum bertemakan “AI Nation” telah menghimpunkan pemimpin teknologi global, pembuat dasar, ahli akademik, dan inovator untuk membincangkan strategi integrasi AI. Forum ini menumpukan kepada tiga bidang utama – Ekonomi AI, Tadbir Urus AI, dan Pembangunan Bakat AI – sebagai platform dinamik dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan.
YB TUAN GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL