1. Tuan Chan Seng Fatt
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Star Media Group
2. Puan Lydia Wang Chen Choo
Ketua Pegawai Operasi, Star Media Group
Tetamu Kehormat dan Pemimpin Industri yang Dihormati,
Wakil-wakil Media,
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.
1. Sebelum saya memulakan ucapan, izinkan saya merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Star Media Group atas penganjuran Persidangan Cloudtech & Pusat Data 2.0 ini.]
2. Persidangan ini sememangnya tepat pada masanya. Seminggu yang lalu, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13. Lebih dikenali sebagai RMK-13, rancangan ini merangkumi beberapa inisiatif yang akan menggalakkan pertumbuhan sektor pusat data secara aktif di negara ini. Matlamat akhirnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi pusat data berteknologi tinggi dan mesra alam.
3. Aspirasi ini merangkumi usaha untuk menarik pelaburan, membangunkan infrastruktur, serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi. RMK-13 akan turut melengkapi pelbagai inisiatif sedia ada oleh Kerajaan MADANI sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital negara.
DASAR PENGKOMPUTERAN AWAN NEGARA PENANDA ARAS UTAMA
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Antara inisiatif yang sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Digital adalah Dasar Pengkomputeran Awan Negara atau NCCP (National Cloud Computing Policy).
5. NCCP menetapkan hala tuju bagi membangunkan ekosistem awan yang dipercayai, selamat dan mampan di Malaysia. Dasar ini memperkasa sektor awam dan swasta untuk mempercepat transformasi digital, sambil memastikan kedaulatan data, keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan perkhidmatan terus terpelihara.
6. Dengan pelaksanaan dasar ini, Malaysia sedang merintis laluan berani ke arah masa depan berteraskan awan (cloud-first) yang mendorong inovasi, kecekapan kos dan perkhidmatan awam yang lebih responsif. Bersamasama, kita sedang membina sebuah negara digital yang berdaya tahan, bersedia untuk merebut pelbagai peluang dalam ekonomi digital yang sedang pesat berkembang.
7. Infrastruktur awan juga merupakan asas penting kepada strategi 5G negara. Bagi merealisasikan potensi sebenar 5G — merangkumi bandar pintar, penjagaan kesihatan berketepatan tinggi sehinggalah kepada mobiliti autonomi — kita memerlukan pusat data yang mempunyai kependaman ultra-rendah, selamat dan boleh diskala. Kita tidak menunggu masa depan untuk tiba; kita sedang giat membina keupayaan ini sekarang.
8. Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk membina asas digital yang kukuh dan berdaya tahan. Saya telah nyatakan perkara ini berkali-kali, dan saya akan terus menegaskannya: Kita akan terus membangunkan infrastruktur yang teguh dan inklusif. Kita akan terus memperkukuh daya tahan siber, dan kita akan terus proaktif dalam melahirkan bakat digital tempatan.
9. Hasil daripada usaha-usaha ini jelas dapat dilihat. Antara tahun 2021 hingga 2023, Malaysia telah meluluskan pelaburan berjumlah RM114.7 bilion dalam sektor pusat data dan perkhidmatan awan, yang turut mewujudkan lebih 2,300 peluang pekerjaan bernilai tinggi. Kita juga berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran hasil sebanyak RM3.6 bilion dalam industri pusat data menjelang tahun 2025.
10. Pelancaran Microsoft’s Malaysia West Cloud Region — sebuah infrastruktur awan berskala tinggi yang sedia untuk AI — telah terbukti menjadi pemangkin perubahan bagi sektor perniagaan, pembangun perisian dan juga perkhidmatan awam.
11. Pencapaian-pencapaian ini mencerminkan keyakinan tinggi para peneraju digital global, termasuk Google dan Amazon Web Services, yang semuanya sedang melabur secara strategik dan jangka panjang di Malaysia. Ini bukan sekadar kejayaan komersial — ini adalah tunjang strategik kepada transformasi negara kita.
PEMBINAAN PUSAT DATA YANG LESTARI
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. Umum mengetahui bahawa pusat data menggunakan tenaga yang sangat tinggi. Namun, itu tidak bermakna kita harus mengelak daripada membincangkan isu ini. Sebaliknya, kita perlu bangkit dan mengambil tindakan yang tegas dan bermakna. Seiring dengan peluasan infrastruktur digital negara, komitmen kita terhadap kelestarian alam sekitar juga mesti dipertingkatkan. Isunya bukan sekadar untuk mengurangkan pelepasan karbon, tetapi untuk meningkatkan piawaian dan amalan lestari kita secara keseluruhan.
13. Kita mesti memastikan bahawa infrastruktur digital negara direka bentuk secara hijau dan mampan — dengan memanfaatkan kecekapan tenaga, sumber tenaga boleh diperbaharui, serta teknologi penyejukan pintar. Langkah ini adalah sejajar sepenuhnya dengan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih (net-zero) menjelang tahun 2050.
14. ‘Hijau’ dan ‘Lestari’ bukan sekadar kata kunci yang popular. Ia adalah perkataan yang penting dan tidak boleh dipandang remeh. Malah, makna sebenar di sebalik perkataan ini mesti diterapkan dalam setiap aspek operasi dan pelaksanaan kita. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini — sama ada baik atau sebaliknya — akan memberi kesan kepada generasi masa hadapan.
MASA DEPAN YANG DIBINA BERSAMA
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Bercakap tentang masa depan, Kerajaan MADANI sentiasa berpandangan jauh ke hadapan. Malaysia kini bersedia untuk muncul sebagai peneraju serantau dan global, menjadi model tadbir urus digital yang inklusif, selamat dan progresif. Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menerajui pelbagai inisiatif untuk membentuk dasar serantau berkaitan aliran data rentas sempadan, peraturan AI, dan pelbagai usaha digital lain.
16. Namun untuk mencapai aspirasi ini, kita perlu bekerjasama. Kita perlu berani tetapi jelas dalam halatuju. Kita perlu berkolaborasi tetapi kekal fokus. Kita mesti menggerakkan usaha yang bersatu padu — merentasi kementerian, industri, institusi akademik, rakan antarabangsa, dan yang paling penting, bersama rakyat.
17. Saya berharap agar persidangan ini akan membuka peluang baharu untuk anda semua mengembangkan operasi digital dengan lebih cekap, memperkukuh daya tahan siber terhadap ancaman berasaskan AI, mendorong kelestarian dalam pembangunan infrastruktur, mengintegrasikan AI dan awan secara berimpak, serta memupuk kepercayaan digital. Apa jua yang kita laksanakan, akhirnya mestilah membawa manfaat kepada rakyat dan negara tercinta kita.
Terima kasih, dan saya ucapkan selamat bersidang dengan penuh produktiviti dan inspirasi.
#TAMAT#