Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Rakyat Digital:Meningkatkan Literasi Digital Untuk Daya Saing Negara

5 mins
·

KENYATAAN MEDIA

RAKYAT DIGITAL: MENINGKATKAN LITERASI DIGITAL UNTUK DAYA SAING NEGARA

PUTRAJAYA, 8 JULAI 2025 – Inisiatif Rakyat Digital sedang menggerakkan usaha besar-besaran untuk meningkatkan literasi digital di seluruh Malaysia. Diterajui oleh Kementerian Digital melalui MyDIGITAL Corporation, inisiatif ini bertujuan membekalkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran asas yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia berasaskan teknologi. Usaha ini selari dengan agenda negara yang mengiktiraf keupayaan digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi global dan daya saing.

YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital menegaskan bahawa Rakyat Digital merupakan tonggak penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara digital yang maju. Melalui kerjasama awam-swasta yang penting ini, ia telah membekalkan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital yang penting sejak diperkenalkan, sekaligus membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan berdaya digital. Platform ini memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam revolusi digital, seterusnya menyumbang kepada kepimpinan Malaysia dalam ekonomi digital global.

Membentuk Masa Depan Digital Malaysia Melalui Kerjasama Awam-Swasta

Rakyat Digital menyatukan kerajaan dan rakan industri dari seluruh negara, termasuk penyumbang seperti Cybersecurity Malaysia, Intel, iTrain, Microsoft, Trainocate dan lain-lain. Mereka bersama-sama menyediakan modul atas talian yang praktikal dan interaktif untuk memperkukuh keupayaan digital negara. Model kolaboratif ini menggabungkan kepimpinan sektor awam dengan kepakaran industri. Kementerian secara aktif berinteraksi dengan rakan-rakan strategik untuk menjayakan agenda peningkatan kemahiran, dan mengalu-alukan kerjasama baharu. Salah satu kelebihan utama adalah kecekapan kos – rakan-rakan industri menyediakan kandungan bernilai tinggi secara percuma, membolehkan latihan berkualiti tinggi dapat diakses oleh orang ramai tanpa sebarang bayaran, sekaligus meluaskan capaian dan impak.

Memperkasa Literasi Digital Melalui Kursus Baharu & Pencapaian Penting

Susulan kejayaan program AI untuk Rakyat, sebuah program pembelajaran kendiri yang dilancarkan pada 16 Januari 2024 bagi meningkatkan kesedaran mengenai AI, Rakyat Digital kini telah meluaskan penawarannya. Lebih 1 juta rakyat telah menyertai program AI untuk Rakyat dalam tempoh enam bulan, melepasi sasaran awal yang ditetapkan. Kesemua pengguna ini kini menjadi sebahagian daripada platform Rakyat Digital, yang kini menawarkan lebih banyak kursus percuma seperti:

• CyberSAFE® untuk Rakyat – Mengajar kemahiran asas keselamatan siber untuk melindungi aset digital.

• Generative AI – Menerangkan bagaimana mesin mencipta kandungan asli serta aplikasinya di dalam dunia sebenar.

• Cloud untuk Rakyat – Meliputi model awan, keselamatan, pelaksanaan, dan penggunaan praktikal.

• AI Fluency – Memperkenalkan asas AI, penggunaan bertanggungjawab, dan kesannya dalam kehidupan harian.

• Blockchain untuk Rakyat – Menjelaskan konsep blockchain, penggunaannya, dan peranannya dalam masa depan digital Malaysia.

Kursus baharu seperti Data untuk Rakyat dan Quantum untuk Rakyat akan diperkenalkan tidak lama lagi untuk memperdalam lagi pengetahuan digital rakyat.

Manfaat Utama Rakyat Digital

• Kebolehcapaian dan Inklusif – Kursus direka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur atau latar belakang, dan termasuk ciri mesra disleksia untuk memastikan tiada yang tercicir.

• Pembelajaran Fleksibel – Pembelajaran mengikut kadar sendiri. Tiga kursus kini ditawarkan dalam empat bahasa (Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil), dan usaha sedang dijalankan untuk memperluaskan semua kandungan kepada empat bahasa.

• Pengalaman Lancar – Pendaftaran mudah melalui emel atau Google SSO, dengan sijil diberikan selepas tamat kursus.

Dengan perpustakaan kursus yang semakin berkembang dan modul yang mudah diakses, Rakyat Digital memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi digital Malaysia. Ia mencerminkan komitmen Kementerian Digital dalam membina tenaga kerja yang inklusif dan bersedia menghadapi masa depan serta meningkatkan kedudukan digital negara di peringkat global. Untuk maklumat lanjut dan melihat senarai kursus yang ditawarkan, sila layari rakyatdigital.gov.my.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Digital


08072025_SIARAN MEDIA_RAKYAT DIGITAL MENINGKATKAN LITERASI DIGITAL UNTUK DAYA SAING NEGARA.pdf

0.13MB

08072025_PRESS RELEASE_RAKYAT DIGITAL BOOSTING DIGITAL LITERACY FOR NATIONAL COMPETITIVENESS.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025