Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Revolusi Pendigitalan Sektor Awam

5 mins
·

SIARAN MEDIA

REVOLUSI PENDIGITALAN SEKTOR AWAM

Putrajaya, 6 Januari 2026 - Pada masa kini, pendigitalan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan penting bagi negara. YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 pada 5 Januari 2026, telah menegaskan bahawa pendigitalan mesti dimulakan dan dilaksanakan secara serius. Usaha ini tidak boleh terhenti pada peringkat perancangan atau penambahan peruntukan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peningkatan yang ketara dalam prestasi kerja serta kualiti perkhidmatan kerajaan yang ditawarkan kepada rakyat.


YAB Perdana Menteri turut menyarankan agar semua urusan di sektor awam dilaksanakan secara dalam talian, kecuali yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang, serta memanfaatkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dan mutu kerja. Langkah ini dilihat sebagai satu pendekatan progresif yang selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara digital yang cekap, berdaya saing dan berpaksikan kepentingan rakyat.


Kementerian Digital menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan digital negara, khususnya dengan memastikan sistem kerajaan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam yang End-to-End (E2E). Melalui Jabatan Digital Negara (JDN), Kementerian Digital sentiasa memantau pelaksanaan E2E di semua agensi kerajaan bagi memastikan tahap kecekapan, keberkesanan, serta pematuhan kepada piawaian pendigitalan yang ditetapkan. Sehingga 2025, pelaksanaan E2E di seluruh agensi Kerajaan telah mencapai 80%, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh

penyampaian perkhidmatan digital. Kerajaan menyasarkan 95% perkhidmatan kerajaan persekutuan dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2030.

Selain itu, kerajaan juga menyasarkan 100% data persekutuan didigitalkan berdasarkan pendekatan Whole-of-Government, sebagai langkah strategik untuk memperkukuh transformasi digital negara dan meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.


JDN juga sedang membangunkan dokumen Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026 hingga 2030 yang akan siap pada pertengahan Januari 2026 untuk mempergiat lagi usaha pendigitalan kerajaan di semua peringkat termasuk kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini termasuk penambahbaikan sistem sedia ada, pemerkasaan penggunaan teknologi baharu, pembangunan modal insan digital dan peningkatan kerjasama strategik antara agensi dalam memastikan transformasi digital sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan berimpak tinggi kepada rakyat.


Kementerian Digital sentiasa memastikan pemanfaatan teknologi AI oleh agensi-agensi Kerajaan dijalankan secara terancang dan beretika. Sehubungan itu, inisiatif AI@Work telah diperkenalkan sebagai platform untuk memperkukuh penggunaan AI dalam operasi harian sektor awam, khususnya bagi meningkatkan kecekapan kerja, produktiviti, serta kualiti penyampaian perkhidmatan. Dari Mac hingga November 2025, penggunaan teknologi AI di bawah inisiatif AI@Work mencatat peningkatan sebanyak 10% secara bulanan. Sehingga Disember 2025, seramai 373,346 orang penjawat awam telah aktif menggunakan teknologi AI ini dan menikmati manfaatnya, termasuk peningkatan kecekapan penyediaan dokumen, pengurangan masa menyiapkan tugasan rutin, serta sokongan dalam membuat keputusan yang lebih informatif.


Usaha ini akan terus diperkasakan pada tahun 2026 secara berterusan, selaras dengan agenda transformasi digital kerajaan dan menyokong aspirasi kerajaan untuk perkhidmatan tanpa kertas, bagi memastikan teknologi AI dapat meningkatkan prestasi kerja, produktiviti, dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.


Secara keseluruhan, Kementerian Digital kekal komited untuk memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui pelaksanaan sistem yang menyeluruh, bersepadu dan berorientasikan hasil. Pemanfaatan teknologi digital termasuk AI akan terus dipacu secara berperingkat, beretika dan berpaksikan kepentingan rakyat. Usaha ini selaras dengan aspirasi YAB Perdana Menteri untuk memastikan transformasi digital negara bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan serta daya saing Malaysia di peringkat global.


-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Digital,

6 Januari 2026.


06012026_SIARAN MEDIA_REVOLUSI PENDIGITALAN SEKTOR AWAM.pdf

0.18MB

06012026_PRESS RELEASE_A DIGITALISATION REVOLUTION IN THE PUBLIC SECTOR.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026