SIARAN MEDIA
SCEKL 2025 MELABUHKAN TIRAI DENGAN HASIL YANG MEMBERANGSANGKAN DEMI MASA DEPAN DIGITAL ASEAN
Kementerian Digital telah menganjurkan Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) pada 17 hingga 19 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menghimpunkan para pemimpin bandar, penggubal dasar, pemain industri serta inovator dari seluruh rantau bagi bersama-sama membentuk hala tuju digital yang akan mencorakkan masa depan kolektif ASEAN. Hasil penganjuran ini sekali lagi mengukuhkan komitmen Malaysia dalam memacu agenda digital berteraskan rakyat, selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025 serta visi jangka panjang AI Nation 2030.
SCEKL 2025 telah menerima kehadiran seramai 10,700 peserta berdaftar dari seluruh negara dan juga rantau ASEAN. Sebagai bandar pertama di Asia Tenggara yang menjadi tuan rumah kepada Smart City Expo World Congress, Kuala Lumpur telah memperkukuh kedudukannya sebagai pusat pertemuan serantau bagi perbincangan mengenai bandar pintar berasaskan AI dan transformasi digital. Para delegasi dari 28 bandar ASEAN turut menegaskan kepentingan acara ini sebagai platform serantau untuk kerjasama dan inovasi.
Ekspo ini turut menampilkan 146 penceramah dan 126 pempamer dari dalam dan luar negara yang membincangkan tema penting merangkumi Kecerdasan Buatan (AI), tadbir urus digital, serta inovasi berteraskan rakyat. Sesi padanan perniagaan telah berjaya memudah cara peluang eksport bernilai RM414.68 juta, manakala AI Cities Pitch Lab menyaksikan penglibatan aktif daripada lapan bandar ASEAN yang mempersembahkan kes penggunaan praktikal serta solusi masa hadapan.
Beberapa bentuk kerjasama penting turut diumumkan, sekali gus menonjolkan kepelbagaian usaha sama yang mendorong transformasi AI dan digital ASEAN. Antara inisiatif tersebut termasuklah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di bawah usaha bersama antara Malaysian Smart City Alliance Association (MSCA), Digital Nasional Berhad (DNB) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi memajukan rangka kerja Bandar Pintar Berasaskan AI.
DNB dan Ericsson telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melancarkan Program Pendidikan Teknologi Abad ke-21 yang bertujuan meningkatkan kemahiran perkhidmatan awam Malaysia. DNB turut memeterai Surat Kolaborasi bersama Amazon Web Services (AWS) untuk membangunkan bersama platform nasional Bandar Pintar Berasaskan AI yang akan mengintegrasikan infrastruktur awan, pembelajaran mesin serta analitik data lanjutan bagi membolehkan operasi bandar masa nyata dan pembuatan keputusan berasaskan ramalan. Sementara itu, MDEC dan Dell Malaysia AI Innovation Hub telah bersetuju untuk menerajui pembangunan keupayaan ramalan Iklim AI yang lebih maju bagi George Town, Pulau Pinang – sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Mesyuarat Meja Bulat Pemimpin Bandar turut memperkukuh kerjasama ASEAN dengan mencapai kesepakatan untuk menubuhkan Rangkaian Bandar Pintar Berasaskan AI, membangunkan Buku Panduan AI Cities, serta menubuhkan kumpulan kerja dan sekretariat khusus bagi memastikan momentum serantau dapat dikekalkan.
Di bawah Kementerian Digital, kerjasama antara pemimpin bandar, perintis industri dan rakan teknologi telah meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekosistem digital ASEAN, di samping mempercepatkan kemajuan negara ke arah bandar pintar yang inklusif dan lestari.
Kementerian Digital menegaskan bahawa kejayaan SCEKL 2025 merupakan bukti komitmen Malaysia terhadap inovasi digital, kerjasama serantau dan pembangunan bandar mampan.
YB GOBIND SINGH DEO MENTERI DIGITAL
26 SEPTEMBER 2025
–TAMAT–
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Kementerian Digital Malaysia