Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Sidang Meja Bulat Datuk Bandar

7 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Dato' Seri Tpr (Dr) Maimunah Mohd Sharif

Datuk Bandar Kuala Lumpur

2. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar

Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

3. Yang Berbahagia Dato’ Jusman Ibrahim

Datuk Bandar Kuala Terengganu

4. Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Hj. Sabin Samitah

Datuk Bandar Kota Kinabalu

Dif-Dif Kehormat dan Pihak Berkuasa Tempatan,

Para Hadirin Sekalian.

Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.

1. Izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berbahagia Datuk Bandar Kuala Lumpur atas kesudian menjadi tuan rumah Sidang Meja Bulat ini. Komitmen dan sokongan beliau dalam menjayakan penganjuran ini amatlah dihargai dan menjadi contoh kepimpinan digital yang proaktif di peringkat tempatan.

2. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan mencerminkan kesungguhan kita bersama untuk memperkasa pembangunan bandar dan komuniti melalui pendekatan teknologi yang inklusif dan mampan.

3. Sidang Meja Bulat ini merupakan platform strategik yang menghimpunkan pemimpin bandar dari seluruh negara untuk menyatukan visi, menyelaras tindakan, dan membina ekosistem digital yang lebih pintar, berdaya saing serta lestari — selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.

FOKUS PERBINCANGAN Hadirin sekalian,

4. Selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) diangkat sebagai pemangkin utama dalam membina ekonomi yang berdaya saing dan inklusif. Aspirasi ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu, bagi memastikan manfaat pendigitalan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

5. Dalam konteks ini, peranan bandar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah amat penting. Justeru, sesi hari ini bertujuan membuka ruang dialog antara kepimpinan tempatan — Datuk Bandar, Yang Dipertua dan wakil-wakil PBT — untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan cabaran dalam melaksanakan dasar pendigitalan di peringkat akar umbi.

6. Perbincangan kita akan tertumpu kepada tiga objektif utama:

A. Pembangunan dan perkongsian infrastruktur digital;

B. Pendigitan dan perkongsian data; dan

C. Pembinaan kembar digital (Digital Twin)

7. Ketiga-tiga objektif ini merupakan elemen asas dalam membentuk ekosistem bandar pintar yang mampan dan responsif terhadap keperluan rakyat.

8. Kita juga mengakui bahawa setiap bandar mempunyai konteks, keutamaan dan kapasiti yang berbeza. Saya secara peribadi telah melawat beberapa command centre seperti di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dan berasa kagum dengan apa yang sedang diusahakan di bandar masing-masing. Maka, dialog seperti ini amat penting untuk memastikan dasar digital di peringkat nasional dapat diterjemahkan secara fleksibel dan bersesuaian dengan realiti tempatan.

9. Sehubungan itu, Kementerian Digital komited untuk memperkukuh peranan sebagai peneraju dasar dan pemudah cara yang menyentuh aspek digital dalam pelaksanaan pelan tindakan bandar pintar oleh PBT. Sokongan ini merangkumi penyediaan garis panduan, pembangunan kapasiti melalui latihan, serta memudah cara akses kepada solusi dan teknologi melalui rakan strategik industri.

INISIATIF YANG DISERLAHKAN (KEPENTINGAN KERJASAMA)

10. Kejayaan transformasi bandar pintar memerlukan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat sivil. Melalui platform kolaborasi yang diwujudkan, pihak berkuasa tempatan dan rakan industri dapat mengakses teknologi terkini seperti kembar digital (digital twin) untuk simulasi bandar masa nyata, sistem pemantauan berasaskan AI, koridor dron autonomi, serta penyelesaian pengangkutan pintar yang bersepadu.

11. Selain itu, perkongsian data strategik antara semua peringkat kerajaan merupakan pemangkin utama untuk mewujudkan sinergi, menjana penjimatan kos, dan memperkukuh tadbir urus bandar mampan. Penubuhan platform seperti Bank Data Nasional dan Suruhanjaya Data akan memastikan perkongsian data berlaku secara selamat dan beretika. Dengan ekosistem data yang mantap dan bersepadu, kemudahan berteknologi tinggi seperti Pusat Arahan dan Kawalan (Command Centre) boleh dikongsi bersama, sekali gus mengelakkan pembinaan infrastruktur berasingan di setiap bandar dan mengoptimumkan sumber sedia ada untuk manfaat bersama.

12. Kementerian Digital baru-baru ini telah menyerahkan secara rasmi Geran Perusahaan 5G & Bandar AI kepada beberapa syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mempercepatkan penerapan teknologi digital di peringkat tempatan, serta memastikan dasar yang digubal dapat diterjemahkan kepada aplikasi dan inovasi yang memberi impak nyata kepada rakyat dan perkhidmatan perbandaran. 6

JEMPUTAN KE SCEKL 2025

13. Untuk makluman hadirin sekalian, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL 2025) yang dianjurkan oleh Kementerian Digital melalui kerjasama MDEC dan DNB. Acara berprestij ini akan berlangsung dari 17 hingga 19 September 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sebagai kesinambungan kepada persidangan antarabangsa Smart City Expo World Congress (SCEWC) yang diadakan di Barcelona — platform utama dunia dalam bidang pembangunan bandar pintar. Sukacita disebut tema bagi SCEKL 2025 adalah “AI Cities — Shaping Our Digital Future”.

14. Sehubungan itu, saya ingin menjemput semua Datuk Bandar dan wakil-wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk hadir dan menyertai sesi-sesi strategik sepanjang SCEKL 2025 ini. Penglibatan aktif PBT amat penting dalam memastikan hala tuju pembangunan bandar pintar negara kekal relevan dan dipacu teknologi digital dan AI, serta berpaksikan realiti tempatan.

PENUTUP

15. Akhir kata, saya berharap agar Sidang Meja Bulat ini dapat memperkukuh kesepakatan dan kefahaman bersama dalam kalangan kepimpinan tempatan mengenai peranan strategik bandar dalam pembangunan negara AI. Dialog seperti ini amat penting untuk membuka ruang perbincangan yang konstruktif, menyatukan visi serta menyelaras tindakan antara bandar — agar pendekatan pembangunan yang berpaksikan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dapat disesuaikan dengan keperluan dan realiti tempatan secara lebih berkesan. 16. Kementerian Digital akan terus memainkan peranan aktif sebagai peneraju dan pemudahcara, dengan menyediakan sokongan menyeluruh — merangkumi kepakaran teknikal, pembiayaan strategik, dasar yang kondusif, serta program peningkatan kapasiti bersama agensi-agensi di bawah naungan Kementerian.

Sekian, Terima Kasih.

#TAMAT#


28082025_TEKS UCAPAN_SIDANG MEJA BULAT DATUK BANDAR.pdf

0.19MB

28082025_SPEECH_MAYORS’ ROUNDTABLE.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025