SIARAN MEDIA
SYARIKAT MALAYSIA CEMERLANG DI ANUGERAH DIGITAL ASEAN 2026
HANOI, 16 Januari 2026 – Tiga syarikat Malaysia berjaya meraih kedudukan podium di Anugerah Digital ASEAN 2026 yang berlangsung sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) 2026, sekali gus menyerlahkan keupayaan serta sumbangan negara dalam memperkukuh landskap digital di Asia Tenggara.
UMCH Technology Sdn Bhd muncul juara dalam kategori Sektor Swasta, manakala Innoveam Sdn Bhd meraih pingat gangsa dalam kategori yang sama. Sementara itu, Enfiniti Interactive Xperiences Sdn Bhd memenangi hadiah utama (Emas) bagi kategori Kandungan Digital. Para pemenang telah diumumkan semasa majlis makan malam gala dan penyampaian hadiah yang berlangsung malam tadi.
Inisiatif pemenang ‘WeHealth’ oleh UMCH Technology merupakan satu sistem kesihatan digital yang inovatif, menyeluruh dan berasaskan bukti, direka untuk mentransformasikan pengurusan penyakit kronik serta perkhidmatan penjagaan primer. Projek ini menyediakan sebuah platform yang menghubungkan doktor dan pesakit melalui gabungan aplikasi mudah alih, peranti boleh pakai (wearables) berasaskan IoT, serta portal khusus. Inisiatif ini dibangunkan di peringkat tempatan oleh para penyelidik Universiti Malaya.
Projek Collaveo oleh Innoveam merupakan platform pengkomputeran industri dan 3D DataOps generasi baharu. Ia mengintegrasikan kembar digital tiga dimensi, data operasi masa nyata, analitik kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML), simulasi bertaraf kejuruteraan serta realiti lanjutan (XR) yang imersif ke dalam satu persekitaran yang selamat dan modular, khusus untuk kegunaan industri kritikal misi.
Enfiniti Interactive Xperiences berjaya menambat hati para juri menerusi penceritaan kreatif Dream Forest Langkawi, tarikan malam imersif pertama di Malaysia yang terletak dalam hutan hujan berusia 100 juta tahun. Projek ini mengintegrasikan teknologi digital termaju dengan warisan budaya negara bagi menyampaikan pengalaman penceritaan berskala besar, luar bangunan dan berbilang deria.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pencapaian yang diraih oleh syarikat-syarikat Malaysia tersebut menjadi bukti jelas kepada ekosistem inovasi digital negara yang semakin berkembang pesat, merentasi pelbagai sektor dan industri.
“Kita mempunyai pemenang dalam sektor kesihatan, pelancongan dan pembinaan. Saya juga yakin terdapat lebih banyak syarikat Malaysia yang sentiasa berinovasi, sekali gus terus menolak sempadan teknologi melalui idea dan penyelesaian baharu bagi membantu pembangunan industri masing-masing,” kata Gobind, yang berada di Hanoi sempena ADGMIN ke-6 yang berakhir hari ini.
“Inovasi sedemikian dapat direalisasikan hasil dasar yang mesra inovasi serta infrastruktur yang stabil. Kementerian Digital akan terus menyokong dan merangsang inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik dan pencipta tempatan, memandangkan produk mereka akan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi digital Malaysia dan Asia Tenggara.”
Gobind menyuarakan harapan agar lebih ramai rakyat Malaysia terus berinovasi dan menawarkan penyelesaian teknologi baharu, sekaligus menjadikan negara ini sebagai hab inovasi digital terkemuka yang dipimpin oleh para inovator bertaraf pemenang anugerah.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital