SIARAN MEDIA
TECH DIPLOMACY GLOBAL 50 MENAMAKAN MENTERI DIGITAL ANTARA PEMIMPIN BERPENGARUH DUNIA DALAM MEMACU POLISI TEKNOLOGI BERTANGGUNGJAWAB DAN
TADBIR URUS DIGITAL
PUTRAJAYA, 3 Februari 2026 – Menteri Digital, Gobind Singh Deo, sekali lagi diberi pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam ruang digital, kali ini oleh Tech Diplomacy Global Institute — organisasi terkemuka dunia yang menghubungkan teknologi dan polisi global.
Tech Diplomacy Global Institute yang berpangkalan di Paris, yang ditubuhkan dengan kerjasama UNESCO, telah menyenaraikan Gobind dalam “2026 Tech Diplomacy Global 50” atas sumbangan beliau terhadap diplomasi teknologi serta “kepimpinan luar biasa dalam membentuk titik pertemuan antara teknologi dan hubungan antarabangsa.”
Beliau disertai oleh, antara lainnya, Clara Chappaz, Duta Hal Ehwal Digital dan AI, Perancis; Anne Marie Engtoft, Duta Teknologi, Denmark; Paula Bogantes Zamora, Menteri Sains, Inovasi, Teknologi dan Telekomunikasi Costa Rica; Amandeep Gill, Utusan Setiausaha Agung PBB mengenai Teknologi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, India; serta Omar Al Olama, Menteri Negara bagi AI di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pengiktirafan terbaharu ini menyusul sejurus selepas Apolitical yang berpangkalan di UK—platform dalam talian terbesar dunia untuk kerajaan—mengiktiraf usaha Gobind dalam memacu agenda kecerdasan buatan (AI), 5G, dan transformasi digital Malaysia menerusi senarai “The Government AI 100” terbaharu mereka.
Gobind berkata beliau berasa amat rendah diri dengan pengiktirafan terbaharu ini dan menyatakan bahawa penghargaan sedemikian memberi tumpuan kepada perjalanan transformasi digital Malaysia, seiring dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang tahun 2030.
“Ini bukan sekadar pengiktirafan buat Gobind Singh Deo, tetapi buat Kementerian Digital dan Malaysia. Ia membuktikan bahawa dunia sedang memerhati rapat usaha digital, polisi, serta tekad kita dalam membina sebuah negara digital dalam persekitaran yang selamat dan dipercayai,” kata Gobind.
“Pasukan saya di Kementerian Digital dan agensi-agensinya telah mengemudi agenda pendigitalan nasional sejak kementerian ini ditubuhkan pada tahun 2023. Kami berasa amat terdorong dengan pengiktirafan sedemikian, dan ini akan terus menyemarakkan lagi semangat kami untuk mempercepatkan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab digital di Asia Tenggara.”
Gobind turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas pendekatan beliau yang berpandangan jauh serta keazaman dalam memastikan landskap digital Malaysia terus berkembang pesat. Ini termasuklah pindaan dan kelulusan undang-undang berkaitan teknologi digital serta penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).
“Teknologi terus berkembang. Oleh itu, masih banyak kerja yang perlu dilakukan, namun saya percaya kita berada di landasan yang betul. Saya yakin bahawa usaha kita akan membolehkan ekonomi digital menyumbang sebanyak 30% kepada KDNK negara menjelang tahun 2030. Kita juga akan melihat lebih ramai rakyat Malaysia dan perniagaan di sini terus berkembang maju dan makmur dalam era AI ini,” tambah Gobind.
Mereka yang terpilih dalam “2026 Tech Diplomacy Global 50” telah dijemput untuk menghadiri Forum Global Diplomasi Teknologi pada 2 Julai 2026 di ibu pejabat UNESCO di Paris, yang akan disusuli dengan majlis makan malam gala bagi menghormati pengiktirafan tersebut.
Tech Diplomacy Global Institute merupakan platform tetap dan neutral yang pertama di dunia bagi menyelaraskan tadbir urus teknologi global. Ia membantu merapatkan jurang antara kerajaan, industri, ahli akademik, dan masyarakat sivil untuk membina infrastruktur terlaras yang diperlukan dalam era digital.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital