Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Transformasi MyGDX:Meruntuhkan Tembok Birokrasi Demi Data Berintegriti Dan Perkhidmatan Awam Yang Pantas

4 mins
·

SIARAN MEDIA

TRANSFORMASI MyGDX:

MERUNTUHKAN TEMBOK BIROKRASI DEMI DATA BERINTEGRITI DAN PERKHIDMATAN AWAM YANG PANTAS

PUTRAJAYA, 5 FEBRUARI 2026 – Kementerian Digital menyeru semua agensi dan jabatan kerajaan untuk memberikan komitmen penuh dalam memperkukuh perkongsian data melalui platform Malaysian Government Central Data Exchange (MyGDX). Kesalinghubungan data antara agensi ini merupakan langkah strategik bagi memacu agenda pendigitalan negara serta memperhebatkan transformasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Majlis Peluncuran Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam (PPDSA) dan Perluasan MyGDX pada 10 Februari 2026 dengan mengangkat tema "Digital Automation through technological advancement" (D.A.T.A.), yang menjadi pemangkin utama dalam mengatasi pelbagai titik keluhan birokrasi demi kepentingan dan manfaat setiap rakyat Malaysia.

Mengatasi Cabaran 'Data Silo' dan Proses Manual

Dalam usaha menuju ke arah sebuah negara maju, sektor awam masih berdepan cabaran teknikal yang memerlukan penyelesaian kolektif melalui kerjasama pintar. Melalui semangat tema D.A.T.A., perkongsian data melalui MyGDX direka untuk menoktahkan amalan pengumpulan dan pengesahan data secara manual daripada pelbagai sistem agensi yang berasingan yang membebankan pegawai awam.


Masalah "data silo" sebelum ini bukan sahaja mengakibatkan maklumat yang tidak konsisten antara agensi, malah meningkatkan risiko kesilapan manusia dalam proses pemadanan data. Kesannya, proses semakan kelayakan dan kelulusan permohonan mengambil masa yang lama. Kebergantungan kepada dokumentasi fizikal ini secara tidak langsung menghadkan akses kepada data masa nyata (real-time) yang kritikal bagi pengurusan moden, sekali gus menyukarkan rakyat menjejak status permohonan mereka secara menyeluruh.

Pencapaian dan Integrasi MyGDX

Sehubungan itu, Kementerian Digital menyeru barisan kepimpinan jabatan untuk menterjemah cabaran ini kepada peluang transformasi yang signifikan. Setakat awal tahun ini, MyGDX menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan penglibatan 81 agensi, merangkumi 51 agensi pembekal data dan 23 agensi pengguna data melalui 49 sistem yang telah berintegrasi. Dengan lebih 23 juta transaksi API yang direkodkan, platform ini telah terbukti berjaya memudahkan perkongsian data kritikal, antaranya adalah profil penjawat awam (JPA), maklumat pelajar IPT (KPT), semakan pasport (JIM), status pengesahan OKU (JKM), semakan keputusan MUET (MPM), serta maklumat lesen dan kenderaan (JPJ).

Melalui kerjasama pintar ini, penjawat awam dapat beralih daripada tugas perkeranian dan penyelarasan data yang berulang kepada usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan berimpak tinggi buat rakyat.

Komitmen Masa Hadapan

Keberhasilan tema D.A.T.A. dalam memacu MyGDX bakal memberikan manfaat signifikan kepada rakyat. Melalui pelaksanaan Prinsip Sekali Sahaja (Once-Only Principle), rakyat tidak lagi terbeban untuk mengemukakan dokumen fizikal secara berulang kali, memandangkan integrasi data membolehkan maklumat dikongsi secara lancar antara agensi.


Proses kerajaan kini akan menjadi lebih pantas, cekap, dan telus. Urusan boleh dilaksanakan sepenuhnya secara digital dan jarak jauh, di mana rakyat menerima perkhidmatan yang lebih responsif dengan jaminan perlindungan data peribadi serta tahap keselamatan yang tinggi.

Kementerian Digital kekal komited menyokong semua jabatan kerajaan dalam fasa peralihan ini menerusi pemerkasaan teknologi autonomi digital. Inilah masanya untuk kita semua berganding bahu meruntuhkan tembok birokrasi data demi membina sebuah kerajaan yang lebih cekap, moden, dan dipercayai, selaras dengan visi memartabatkan kedudukan digital negara di persada global.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Digital.


05022026_SIARAN MEDIA_TRANSFORMASI MyGDX-MERUNTUHKAN TEMBOK BIROKRASI DEMI DATA BERINTEGRITI DAN PERKHIDMATAN AWAM YANG PANTAS (1).pdf

0.16MB

05022026_PRESS RELEASE_MYGDX BREAKING DOWN BUREAUCRATIC WALLS FOR DATA INTEGRITY AND RAPID PUBLIC SERVICES (1).pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026