SALUTASI
1.Encik Evan Cheah
Timbalan Presiden, Sunway Group
2.Yang Berbahagia Dato’ Tan Kia Loke
Pengarah Urusan Kanan (Pejabat Pengerusi), Sunway Group
3.Encik Matt Van Leeuwen
Ketua Pegawai Inovasi Sunway Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway iLabs
4.Puan/Cik Karen Lau
Ketua Pegawai Operasi, Sunway iLabs
Pengasas-Pengasas Startup, Pelabur dan Penggerak Ekosistem,
Rakan Media,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat petang.
1.Pertama sekali, terima kasih kepada Sunway Group, Sunway iLabs, dan Encik Evan kerana mempertemukan kita semua pada petang ini. Dan harus saya katakan, suasana ini sangat menyegarkan — sebuah acara teknologi di "tepi pantai" pada waktu petang, dengan tenaga dan keterujaan yang dapat dirasai.
2.Mungkin inilah sebenarnya gambaran sebenar sebuah inovasi. Terbuka — Terhubung — Tanpa Sempadan. Inovasi tidak sentiasa bermula di dalam bilik lembaga pengarah atau bangunan kerajaan.
3.Kadang-kadang, ia bermula daripada perbualan; antara pengasas dan pelabur; antara pihak industri dan pegawai kerajaan; antara seorang inovator dengan inovator yang lain. Dan mungkin itulah sebabnya perhimpunan seperti ini sangat penting.
4.Kepada para tetamu antarabangsa kami dari Silicon Valley, China, Eropah, Australia, dan dari seluruh pelosok ASEAN — selamat datang ke Malaysia! Kehadiran anda di sini memberikan isyarat yang jelas bahawa Malaysia kini bukan lagi sekadar menjadi peserta dalam perbincangan mengenai teknologi global.
MEMBINA NEGARA AI UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA
5.Malaysia kini sedang berkembang menjadi sebuah tempat di mana teknologi dicipta, di mana kerjasama strategik dibentuk, dan di mana idea-idea diubah menjadi peluang yang nyata.
6.Dan perkara ini sedang berlaku pada waktu yang sangat penting. Di seluruh dunia, kita menyaksikan ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik, peralihan teknologi yang pantas, dan landskap industri yang berubah dengan lebih cepat berbanding sebelum ini. Landskap global hari ini berubah hampir setiap hari.
7.Namun di sebalik semua ini, Malaysia terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan keyakinan diri. Kerana ketidaktentuan tidak boleh dijadikan alasan untuk kita memperlahankan langkah.
8.Hari ini, Malaysia kekal komited sepenuhnya terhadap cita-cita kita untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang tahun 2030 — bukan sekadar slogan, tetapi sebagai satu hala tuju nasional. Ini adalah komitmen untuk memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi turut membantu membina, membentuk, dan menerajuinya.
9.Transformasi digital hari ini bukan lagi sekadar mendigitalkan perkhidmatan atau meningkatkan ketersambungan. Ia adalah tentang sama ada sesebuah negara itu mampu membina, menerima pakai, dan mengawal selia teknologi yang bakal mencorakkan masa depan mereka.
10.Itulah sebabnya Kerajaan menubuhkan Kementerian Digital sebagai sebuah kementerian tersendiri pada Disember 2023 — satu pengiktirafan jelas bahawa transformasi digital bukan lagi perkara sampingan, sebaliknya menjadi teras kepada masa depan Malaysia.
11.Sejak itu, kita telah bergerak maju secara progresif untuk membina asas yang diperlukan demi pertumbuhan digital jangka panjang dan daya saing negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.Kita telah memperkenalkan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Perkongsian Data 2025, memperkasakan Akta Perlindungan Data Peribadi, serta menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan demi memacu penyelarasan AI merentasi sektor kerajaan, industri, dan akademik.
13.Pada masa yang sama, kita sedang menggerakkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 — bukan sebagai dokumen dasar yang sekadar tersimpan di atas rak, tetapi sebagai satu usaha nasional yang nyata untuk membina bakat, memperkukuh infrastruktur, memayungi inovasi, dan mencipta peluang untuk rakyat Malaysia.
MEMBINA MASA DEPAN AI YANG INKLUSIF
14.Saya benar-benar percaya bahawa AI tidak seharusnya memberi manfaat kepada sekelompok kecil syarikat atau beberapa buah bandar utama sahaja. Ia mesti sampai kepada syarikat pemula (startup) dan PKS kita, universiti dan penyelidik kita, pelajar kita, penjawat awam kita, serta rakyat Malaysia biasa yang sedang berusaha untuk membina perniagaan, kerjaya, dan kehidupan yang lebih baik.
15.Jika kita berjaya melakukannya dengan betul, sesebuah startup di Malaysia tidak akan hanya bersaing di peringkat tempatan, malah mampu dibina untuk pasaran dunia sejak hari pertama lagi. Itulah sebabnya Malaysia komited untuk membina kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh dan meletakkan kedudukan kita sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara.
16.Atas faktor ini juga, amat menggalakkan untuk melihat kehadiran para pemain global di sini hari ini, termasuk Andreessen Horowitz, China International Capital Corporation, Vencap, OpenAI, Harrison AI, dan ramai lagi.
17.Kehadiran anda di sini membuktikan sesuatu yang penting. Ia mencerminkan keyakinan yang kian meningkat bukan sahaja terhadap Malaysia, malah terhadap ASEAN sebagai salah satu rantau digital yang paling pesat berkembang di dunia.
18.Lebih daripada 680 juta orang menetap di rantau ini. Ini bermakna adanya bakat. Pasaran. Idea. Peluang. Dan Malaysia berada pada kedudukan yang strategik tepat di tengah-tengahnya — bersedia untuk menghubungkan inovasi global dengan gelombang pertumbuhan Asia Tenggara yang seterusnya.
MEMASTIKAN INOVASI MEMBERI MANFAAT KEPADA RAKYAT
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
19.Antara cabaran terbesar hari ini adalah inovasi sering kali terhenti setakat perbincangan, pembentangan, atau projek rintisan sahaja. Idea-idea yang baik wujud di mana-mana. Namun, apa yang benar-benar penting adalah sama ada idea-idea tersebut boleh dilaksanakan dan diperluaskan untuk mencipta impak yang nyata.
20.Atas dasar itulah Kementerian memperkenalkan Inisiatif Inovasi Kerajaan, atau GII. Fokus kita bukan lagi sekadar mengumpul idea, sebaliknya tertumpu kepada pelaksanaan, pengoperasian, dan hasil yang dapat menambah baik cara kerajaan berfungsi serta bagaimana perkhidmatan disampaikan kepada rakyat.
21.Melalui platform seperti MyInovasi dan Citizen Labs yang bakal menyusul — syarikat pemula (startup), pihak industri, penyelidik, agensi, malah rakyat Malaysia biasa boleh mengetengahkan masalah sebenar dan penyelesaian yang nyata. Di sini, idea-idea yang berpotensi tinggi boleh dirintis, diuji, dan seterusnya diperluaskan ke seluruh peringkat kerajaan.
22.Dan inilah sebabnya platform seperti FutureX amat penting. Kerana inovasi akan bergerak dengan lebih pantas apabila para pengasas, pelabur, pihak industri, penyelidik, dan pihak kerajaan menjadi sebahagian daripada ekosistem yang sama.
23.FutureX adalah lebih daripada sekadar sebuah acara. Ia merupakan sebuah jambatan yang menghubungkan antara idea dengan pelaksanaan, antara Malaysia dengan dunia, serta antara cita-cita dengan peluang yang ada.
24.Kerana tiada sebuah negara pun yang mampu membina masa depan secara bersendirian. Kerajaan tidak boleh melakukannya sendiri. Syarikat pemula (startup) tidak boleh melakukannya sendiri. Pihak industri juga tidak boleh melakukannya sendiri. Ia menuntut kita semua untuk bergerak bersama-sama dengan penuh kepercayaan, matlamat, dan kesediaan untuk membina.
25.Oleh itu, kepada semua pengasas, pelabur, inovator, dan rakan strategik yang berada di sini malam ini — terima kasih kerana mempercayai Malaysia, dan saya menjemput setiap individu di sini hari ini untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ke hadapan ini.
26.Peluang yang menanti di hadapan kita amatlah besar. Dan usaha tersebut bermula sekarang. Dengan ini, saya dengan penuh sukacitanya merasmikan 2026 FutureX Ventures Fest.
Terima Kasih.
#TAMAT#