SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL DAN MDEC
PERKASA PENDIDIKAN MASA HADAPAN MELALUI PROJEK RINTIS “AI-POWERED CLASSROOM” DI SARAWAK
SARAWAK, 12 FEBRUARI 2026 – Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Yang Berbahagia Datuk Fabian Bigar, hari ini telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Sekolah Kebangsaan (SK) St. James Quop, Padawan. Sekolah ini merupakan sekolah yang telah dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI di bawah naungan Kementerian Digital.
Fokus utama lawatan adalah untuk memantau perkembangan semasa program Sekolah Angkat MADANI, di samping meninjau pelaksanaan projek rintis Proof-of-Concept (PoC) bilik darjah berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan “AI-Powered Classroom” yang sedang dijalankan di sekolah tersebut.
Inisiatif Projek PoC yang dilaksanakan di sekolah ini diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan langkah strategik bagi menilai keberkesanan integrasi teknologi AI. Pada masa yang sama, ia bertujuan memperkasakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), sekali gus merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar.
Bagi fasa pertama yang dijalankan sejak Ogos 2025, projek rintis PoC ini dirangka khusus bagi membudayakan teknologi AI dalam ekosistem pendidikan. Selain bertujuan melonjakkan potensi pembelajaran murid secara individu, inisiatif ini turut memfokuskan kepada pemerkasaan kompetensi digital dalam kalangan tenaga pengajar serta pentadbir. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Sekolah Angkat MADANI yang komited meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memacu kecemerlangan sekolah-sekolah di bawah naungannya.
Kejayaan pelaksanaan projek di SK St. James Quop ini dipacu oleh sinergi strategik yang utuh antara sektor akademik dan pemain industri gergasi teknologi. Gabungan rakan strategik yang terdiri daripada MyDIGITAL Corporation, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Microsoft Malaysia, Intel Malaysia, Dell Technologies, Vector InfoTech Pandai Education, Chumbaka Sdn Bhd, dan APR Electronic Services telah memainkan peranan penting dalam menyumbangkan kepakaran teknikal, penyediaan peranti canggih, aplikasi pendidikan berteraskan AI, serta dana latihan bagi memastikan ekosistem pendidikan digital yang holistik dapat direalisasikan di sekolah ini.
Semasa lawatan tersebut, delegasi Kementerian Digital turut berpeluang menyaksikan demonstrasi praktikal penggunaan solusi teknologi oleh murid dan guru. Seterusnya, lawatan diakhiri dengan sesi penyerahan sumbangan peralatan seperti komputer riba berteraskan AI, peranti digital dan papan pintar (Smart Board) daripada rakan-rakan strategik sebagai simbolik sinergi strategik terhadap transformasi digital di sekolah tersebut.
Inisiatif yang dilaksanakan di SK St. James Quop ini merupakan manifestasi jelas komitmen kerajaan dalam memastikan tiada murid yang ketinggalan daripada arus perdana ekonomi digital. Langkah ini bukan sahaja selaras dengan objektif Malaysia MADANI, untuk melahirkan dan memantapkan nilai individu serta masyarakat. Seterusnya, menjadi pemangkin utama dalam mempersiapkan generasi muda Ke Arah Negara AI 2030 melalui inovasi yang inklusif dan mampan.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital