SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL TANGANI KEBIMBANGAN BERHUBUNG PEMPROSESAN PAS PEKERJAAN BAGI BAKAT TEKNOLOGI
PUTRAJAYA, 29 MAC 2026 – Kementerian Digital mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan industri berhubung perubahan terkini terhadap garis panduan permohonan Pas Pekerjaan (Employment Pass, EP) termasuk tempoh pemprosesan yang didapati memberi kesan kepada ekosistem Perkhidmatan Perniagaan Global (Global Shared Services, GBS).
Sektor GBS merupakan antara pemacu utama ekonomi digital negara yang menyumbang secara signifikan kepada pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau. Sehubungan itu, Kementerian memandang serius segala isu yang diketengahkan.
Kementerian menegaskan serta memberi jaminan bahawa perkara ini sedang diteliti secara aktif dan menyeluruh. Sesi libat urus sedang giat dilaksanakan bersama agensi berkaitan, termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), selaku agensi di bawah seliaan Kementerian Digital, serta pemain industri. Pendekatan ini bertujuan memahami secara menyeluruh terhadap kebimbangan yang dibangkitkan, di samping mengenal pasti langkah penambahbaikan yang bersesuaian dalam jangka pendek dan jangka panjang.
MDEC telah mempergiat usaha bagi menangani peningkatan ketara dalam jumlah permohonan baharu, termasuk menambah kapasiti sumber tenaga kerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Selain itu, MDEC turut melaksanakan sesi libat urus bersama persatuan industri utama seperti GBS Malaysia (Majlis Perkhidmatan Perniagaan Global Digital Malaysia, cabang PIKOM) dan Contact Centre Association of Malaysia (CCAM) bagi memaklumkan perkembangan semasa.
Kementerian Digital bersama MDEC akan terus memperkukuh penyelarasan antara Kementerian dan agensi berkaitan, di samping melaksanakan penambahbaikan proses secara berterusan bagi mempercepat tempoh kelulusan secara lebih lancar.
Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan semakan serta hasil sesi libat urus bersama semua pihak berkaitan.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.