Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Pertandingan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan 2025

7 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Profesor Dato’ Elizabeth Lee Fuh Yen,

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Pendidikan Sunway

2. Profesor Sibrandes Poppema,

Presiden & Naib Canselor, Universiti Sunway

3. Profesor Abhimanyu Veerakumarasivam,

Provost & Timbalan Naib Canselor, Universiti Sunway

4. Profesor Chai Lay Ching,

Pro Naib Canselor, Universiti Sunway

5. Puan Wong Lei Lei,

Ketua Pegawai Pemasaran, Kumpulan Pendidikan Sunway

6. Puan Eer Kai Song,

Ketua Pegawai Eksekutif, Hyperbyte AI

7. Encik Lim Jay Yen,

Pengasas Bersama, Hyperbyte AI

Rakan-Rakan Wawasan & Pemimpin Masa Hadapan yang Dihormati,

Tetamu Kehormat & Para Peserta yang Budiman,

Wakil-Wakil Media, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur kerana sudi menjemput saya ke Pertandingan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan 2025. Adalah satu kegembiraan bagi saya untuk berada bersama begitu ramai bakat muda yang luar biasa pada pagi Sabtu ini.

2. Sebagai seorang bapa, detik ini sememangnya memberikan rasa bangga dan kepuasan apabila melihat generasi muda kita tampil ke hadapan dan menerajui dunia yang penuh dengan peluang dan cabaran ini.

3. Saya juga ingin menegaskan bahawa golongan belia kita benar-benar berada di barisan hadapan dalam menyesuaikan diri dan mengaplikasikan teknologi digital. Hal ini lebih ketara dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI). Daripada mencipta kandungan kreatif sehinggalah mendapatkan bantuan akademik, anak-anak muda kita kini giat memanfaatkan AI untuk mempertingkatkan kehidupan harian mereka.

4. Ia juga jelas bahawa Kecerdasan Buatan (AI) bukan sekadar alat. Ia merupakan bahasa masa kini — sekutu yang berkuasa yang menanti untuk dikuasai dan dimanfaatkan sepenuhnya. Anak muda kita pula begitu bersemangat dan bersedia untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan AI ini.

MENYELESAIKAN MASALAH DUNIA SEBENAR DENGAN AI

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5. Adalah penting untuk kita mewujudkan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk berinovasi dan meneroka batas kemampuan mereka. Pertandingan AI Kebangsaan ini merupakan salah satu contoh terbaik ke arah itu.

6. Acara ini bukan sekadar satu pertandingan. Ia memberi kita gambaran awal tentang cabaran dunia sebenar menerusi perspektif generasi muda. Lebih penting lagi, melalui penggunaan AI secara inovatif, kita dapat melihat penyelesaian kepada cabaran-cabaran tersebut.

7. Saya dimaklumkan bahawa pertandingan ini merangkumi tiga kategori — Seni, Inovasi dan Teknikal. Pendekatan ini bertujuan menggalakkan penyertaan daripada pelbagai latar belakang dan minat.

8. Saya ingin menyeru pihak penganjur untuk mempertimbangkan penambahan lebih banyak kategori dalam edisi akan datang. Pendekatan inklusif seperti ini penting bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam usaha kita membina sebuah negara digital.

9. Dalam masa yang sama, penyertaan yang lebih meluas daripada pelbagai minat akan menghasilkan lebih banyak inovasi dan kemungkinan baharu. Ini secara tidak langsung akan memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang tenaga kerja digital.

MEMBENTUK TENAGA KERJA DIGITAL UNTUK MALAYSIA DIGITAL

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Berbicara tentang tenaga kerja digital, Kementerian Digital telah ditubuhkan pada tahun 2023 bagi merancakkan ekosistem digital di Malaysia. Sejak itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk 5 penggubalan dan pindaan undang-undang, kerjasama dengan pihak swasta bagi memperkasa bakat tempatan, serta pelancaran Pejabat AI Kebangsaan pada Disember 2024.

11. Namun begitu, usaha kami masih jauh dari selesai kerana kami komited untuk memastikan ekonomi digital menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

12. Langkah-langkah ini diambil bagi mewujudkan laluan kerjaya yang stabil, menguntungkan dan menarik untuk anak muda kita. Akan tiba masanya apabila semakin ramai dalam kalangan generasi muda kita akan beraspirasi untuk menjadi jurutera AI, saintis data atau pakar keselamatan siber.

13. Di sinilah saya ingin memohon kerjasama daripada pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk membimbing, memupuk dan melahirkan pakar digital yang berkemahiran tinggi, yang kemudiannya akan menyumbang kepada tenaga kerja dan ekonomi digital negara. Kita perlu melahirkan ikon digital — golongan profesional yang mampu menyokong dan memimpin dalam dunia digital — bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai untuk menyertai ekosistem ini.

14. Sehubungan itu, marilah kita menggalakkan lebih ramai anak-anak untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Bantu mereka mengasah pemikiran kritikal dan kemahiran menyelesaikan masalah, sambil membimbing mereka untuk memahami masyarakat dengan lebih baik, menjunjung etika, serta berkomunikasi dengan berkesan.

15. Marilah kita turut menggalakkan para pelajar untuk berfikir tentang aplikasi dunia sebenar yang mampu memperbaiki kehidupan masyarakat.

16. Kementerian Digital sentiasa bersedia menyokong usaha-usaha seperti ini. Seperti ibu bapa yang bangga apabila anak mereka mencapai kejayaan, kita tahu bahawa keputusan yang kita ambil adalah tepat dan berbaloi.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

17. Saya dimaklumkan bahawa terdapat sekitar 800 orang pelajar dari seluruh negara yang hadir ke pentas akhir pada hari ini. Bagi saya, ini bermakna terdapat 800 individu yang berpotensi untuk membina sebuah Malaysia yang inovatif dan makmur.

18. Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Dan kepada peserta lain, teruskan usaha anda. Bawalah inovasi berasaskan AI anda ke tahap yang lebih tinggi.

19. Saya amat gembira kerana anda semua bukan sekadar menjadi pemerhati dalam kebangkitan era AI. Sebaliknya, anda adalah sebahagian daripada kebangkitan itu. Teruskan bereksperimen, belajar, bertanya dan mencipta. Ikuti minat anda. Ubah impian menjadi kenyataan.

20. Kuasa luar biasa AI kini berada di hujung jari kita. Ayuh, kita rebut peluang ini bersama-sama untuk membina masa depan yang lebih pintar, lebih saksama dan lebih mengujakan daripada apa yang mampu kita bayangkan.

Terima kasih.

#TAMAT#


19072025_TEKS UCAPAN_PERTANDINGAN KECERDASAN BUATAN (AI) KEBANGSAAN 2025.pdf

0.17MB

19072025_SPEECH_NATIONAL AI COMPETITION 2025.pdf

0.20MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025