SALUTASI
1.Yang Berbahagia Dato’ Abdul Rahman Ahmad
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad (PNB)
2.Yang Berbahagia Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif, PNB Merdeka Ventures (PNBMV)
3.Yang Berusaha Tuan Anuar Fariz Fadzil
Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC
4.Yang Berbahagia Dato’ Tengku Abdul Aziz Tengku Mahmud
Penasihat, PNB Merdeka Ventures (PNBMV)
5.Encik Keith Ooi
Pengarah Urusan Kumpulan, Knight Frank Malaysia
Para Jemputan yang Dihormati,
Rakan-rakan Media,
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat petang.
1.Saya amat berbesar hati dapat berada di Merdeka 118 yang tersergam indah ini. Berdiri di Aras 98, sambil menyaksikan pemandangan latar langit Kuala Lumpur, sukar untuk kita tidak merasai semangat bangga terhadap sejauh mana kemajuan yang telah kita capai sebagai sebuah negara. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PNB Merdeka Ventures kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran ini. Kita tidak hanya berada di sini untuk mengagumi mercu tanda ini; kita berada di sini untuk menyaksikan satu pencapaian penting dalam perjalanan kita menuju masa depan digital.
2.Pelancaran ini merupakan isyarat jelas bahawa agenda pendigitalan nasional kita kini beralih daripada sekadar kertas dasar kepada realiti. Merdeka 118, sebagai MD Nexus pertama di Malaysia, melambangkan kemajuan nyata dalam misi kita untuk menyatukan teknologi ke dalam teras ekonomi dan masyarakat kita.
3.Agenda digital nasional merupakan enjin utama bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang dirangka untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta menarik pelaburan berkualiti yang memberi manfaat secara langsung kepada setiap rakyat Malaysia.
4.Untuk merealisasikan visi ini, kita sedang memberi tumpuan kepada enam bidang berimpak tinggi pada tahun ini bagi mempercepatkan transformasi digital negara. Bidang-bidang tersebut adalah Kesihatan, Pengangkutan, Pertanian, Pendigitalan PKS, Penguatkuasaan, dan Perkhidmatan Kerajaan.
5.Dengan memberi tumpuan kepada bidang-bidang ini, kita memastikan bahawa ekosistem digital kita bukan sekadar berkembang, malah berkembang dengan matlamat yang jelas dan ketepatan yang jitu.
6.Visi ini berpaksikan kepada transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam ekonomi digital. Di Kementerian Digital, kami komited untuk memastikan ekonomi ini kekal berdaya tahan, inklusif, dan — yang paling penting — sedia menghadapi masa hadapan.
7.Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah Negara AI yang berdaya saing di peringkat global menjelang tahun 2030. Tahun ini menandakan tempoh peralihan yang kritikal sedang kita mula melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.
8.Ini bukan sekadar tentang menggunakan gajet baharu, tetapi tentang membina sebuah ekosistem komprehensif yang menyepadukan infrastruktur, bakat, serta kerangka tadbir urus yang teguh, yang diterajui oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), bagi memastikan Malaysia menjadi pengeluar, dan bukan sekadar pengguna, teknologi AI.
9.Inisiatif MD Nexus menyokong matlamat ini dengan mengiktiraf lokasi-lokasi strategik, seperti Merdeka 118, yang dilengkapi kemudahan untuk berfungsi sebagai hab bagi perniagaan digital bernilai tinggi ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10.Transformasi digital mestilah bersifat inklusif. Manfaatnya perlu dirasai oleh semua pihak — daripada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang terbesar sehinggalah kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan serta perusahaan mikro kita.
11.Kita sedang memastikan bahawa pendigitalan memberikan hasil kepada kedua-dua sektor perniagaan dan juga Rakyat. Bagi perniagaan kita, kita telah memperkenalkan langkah-langkah seperti potongan cukai sebanyak 50% bagi latihan AI dan keselamatan siber untuk membantu PMKS membina daya tahan digital.
12.Bagi rakyat pula, kita memberi tumpuan kepada "AI berpaksikan manusia," di mana teknologi digunakan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih mudah dicapai dan efisien, bagi memastikan tiada sesiapa yang terpinggir dalam peralihan ini. Akhir sekali, matlamat kita adalah untuk merapatkan jurang digital dan memperkasakan kesejahteraan setiap warganegara.
13.Sambil kita mendakap era Kecerdasan Buatan (AI), kita juga harus memastikan ekosistem kita kekal dipercayai dan selamat. Memperkukuh keselamatan siber dan perlindungan data adalah amat penting sedang kita melangkah naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
14.Paling utama, transformasi digital mestilah membuahkan pulangan pelaburan (ROI) yang kukuh, terutamanya dalam meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat berkemahiran, dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.
15.Dengan ekonomi digital yang diunjurkan bakal menyumbang sebanyak 25.5% kepada KDNK kita pada tahun 2025, kita kini berada di landasan yang betul. Saya menyeru kepada para penggiat industri untuk tampil ke hadapan sebagai rakan kongsi dalam pembangunan negara ini.
Para Jemputan yang Dihormati,
16.Pada tahun ini, fokus kita adalah untuk memperkukuh momentum tersebut sambil memastikan ekosistem digital Malaysia terus melangkah naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
17.Dalam semangat ini, saya menyeru lebih ramai penggiat industri untuk tampil ke hadapan sebagai rakan kongsi dalam pembangunan negara, bergerak seiring dengan peralihan ekonomi, mempercepatkan penggunaan teknologi, dan secara kolektif menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
18.Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada MDEC atas usaha yang dilaksanakan pada hari ini, terutamanya dalam meletakkan Menara Merdeka 118 sebagai lokasi MD Nexus yang pertama di Malaysia.
19.Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PNB Merdeka Ventures atas pengiktirafan ini. Menara Merdeka 118 bukan sekadar mercu tanda nasional yang ikonik. Ia merupakan sebuah presint yang mempunyai potensi untuk menjadi titik tumpuan global. Sebagai sebuah pembangunan pemangkin, ia mencerminkan visi global untuk menarik pelaburan, memupuk kerjasama, dan menyokong kepimpinan digital Malaysia yang sedang berkembang.
20.Dengan pengiktirafan ini, semoga Merdeka 118 terus menyemarakkan aktiviti ekonomi, meluaskan rangkaian kerjasama, dan menjadi titik pertemuan bagi rakan kongsi bernilai tinggi dalam era digital ini. Sebagai tapak MD Nexus yang pertama di Malaysia, ia menetapkan penanda aras penting yang kita harapkan dapat diperkukuhkan lagi seiring dengan pembangunan lebih banyak lokasi sedia masa hadapan di seluruh negara.
21.Dengan ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
#TAMAT#