Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Tech Stacks & Stakes Forum

9 mins
·

1. Yang Berhormat Michelle Ng

ADUN Subang Jaya

2. Profesor Duncan McDuie-Ra

Ketua (Pusat Pengajian Sastera & Sains Sosial),

Universiti Monash Malaysia

3. Encik Premesh Chandran

Felo Penyelidik Kanan Adjung,

Universiti Monash Malaysia

4. Profesor Madya Emma Baulch

Pengarah, Pusat Penyelidikan Asia Tenggara untuk Teknologi Digital dan Masyarakat (SEADS)

5. Cik Ding Jo-Ann

Prinsipal Asia, Luminate

6. Profesor Haiqing Yu

Profesor (Media & Komunikasi),

Institut Teknologi Diraja Melbourne (RMIT)

Rakan-rakan media,

tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.

1. Izinkan saya mulakan dengan menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada Universiti Monash Malaysia kerana sudi menjadi tuan rumah bagi forum yang amat penting ini. Platform sebegini adalah kritikal dalam membentuk idea dan dasar yang bakal menentukan masa depan digital kita.

2. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysiakini, Yayasan Malaysiakini, dan Luminate kerana berjaya menghimpunkan para pemegang taruh daripada pihak kerajaan, industri, akademik, dan masyarakat sivil.

3. Kerjasama sebegini amat penting kerana tiada satu institusi pun yang mampu mengemudi kerumitan aspek teknologi, tadbir urus, dan kedaulatan secara bersendirian.

4. Adalah satu penghormatan bagi saya untuk berbicara mengenai teknologi dalam era yang dicorakkan oleh ketegangan global yang semakin meningkat, di mana isu kedaulatan berbanding kebergantungan bukan lagi sekadar perbincangan dasar semata-mata.

MEMBINA KEDAULATAN, LAPIS DEMI LAPIS

5. Selama berdekad-dekad, Malaysia telah beroperasi dalam sistem global yang stabil, berpaksikan kepada peraturan, institusi, dan keterbukaan. Model tersebut telah membuahkan pertumbuhan, namun landskapnya kini telah berubah. Perdagangan kini berkisar tentang pengaruh (leverage), dan teknologi kini berfungsi sebagai aset strategik.

6. Persoalannya sekarang adalah bagaimana kita boleh bekerjasama dengan pemain industri global tanpa hilang kawalan terhadap sistemsistem yang menjadi tunjang kepada ekonomi dan masyarakat kita?

7. Kedaulatan hari ini tidak lagi ditakrifkan oleh sempadan semata-mata. Ia ditentukan oleh sistem — oleh siapa yang mengawal data, infrastruktur, platform, dan semakin ketara kini, kecerdasan itu sendiri. Apa yang dahulunya memacu pertumbuhan melalui integrasi, kini boleh mewujudkan kebergantungan apabila hak milik tidak dimiliki sendiri.

8. Dan inilah perkara pokoknya: kedaulatan bukanlah satu tindakan tunggal. Ia dibina lapis demi lapis. Satu "stak" keputusan, di mana setiap lapisan akan menentukan sama ada kita memperkukuh keupayaan kita — atau memperdalamkan lagi kebergantungan kita.

MELETAKKAN ASAS BAGI PEMILIKAN

Tuan-tuan dan Puan-puan,

9. Malaysia tidak bermula daripada kedudukan yang lemah. Kita telah membina asas yang kukuh selama berdekad-dekad. Dalam aspek keterhubungan, penerapan digital, serta dalam segmen rantaian bekalan semikonduktor, kita telah membuktikan keupayaan serta daya tahan kita.

10. Melalui inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan pelaksanaan 5G melalui Digital Nasional Berhad, kita telah membina infrastruktur yang membolehkan ekonomi digital kita berfungsi pada skala yang besar.

11. Malaysia kini sedang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam pelaburan pusat data, yang mencerminkan keyakinan terhadap ekosistem kita serta meletakkan kita dalam ekonomi digital global. Namun, menjadi perumah kepada infrastruktur tidak sama dengan memilikinya. Jika modal, platform, dan kecerdasan dikawal oleh pihak luar, maka kelebihan strategik sebenarnya terletak di tangan pihak lain.

12. Di sinilah pendekatan kita perlu beralih — daripada sekadar menjadi destinasi pelaburan kepada pembina keupayaan. Apa yang dibangunkan di sini mestilah menjana nilai di sini, merangkumi seluruh ekonomi, industri, dan kumpulan bakat kita.

13. Di peringkat platform, cabarannya juga amat nyata. Sebahagian besar ekosistem digital kita dicorakkan oleh platform asing yang mempengaruhi aliran maklumat, cara perniagaan beroperasi, dan bagaimana nilai diraih.

14. Walaupun kerangka tadbir urus sedang diperkukuh melalui agensi-agensi di bawah Kementerian Digital Malaysia, langkah ini sahaja tidak mencukupi. Tanpa membina alternatif kita sendiri, kebergantungan akan terus kekal.

GARIS ANTARA AKSES DAN PEMILIKAN

15. Kita mempunyai kumpulan bakat tempatan yang mantap dan sudah pun menempa nama di peringkat global. Persoalan sebenarnya adalah sama ada kita mampu mewujudkan keadaan yang membolehkan mereka membina (teknologi) di sini, untuk Malaysia.

16. Dengan kebangkitan Kecerdasan Buatan (AI), perkara ini menjadi semakin mendesak. AI bukan lagi sekadar teknologi sampingan, kerana ia kini mencorakkan keputusan, produktiviti, dan cara institusi berfungsi.

17. Malaysia telah mengambil langkah-langkah melalui Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan, Pejabat AI Kebangsaan, serta kerangka Garis Panduan Kebangsaan mengenai Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) untuk menyokong pertumbuhan yang bertanggungjawab dan berskala besar. Potensi ekonominya adalah jelas, dengan AI bersedia untuk memberi sumbangan bermakna kepada KDNK pada masa hadapan.

18. Namun, perkara ini tidak terjamin. Jika kita bergantung sepenuhnya kepada sistem asing, kita perlu bertanya kepada diri sendiri — adakah kita sedang membina kecerdasan, atau sekadar mengaksesnya?

DARIPADA DASAR KEPADA PELAKSANAAN

19. AI kini mengurangkan kos dan mempercepatkan proses pembangunan penyelesaian digital, sekali gus mewujudkan peluang nyata buat syarikatsyarikat Malaysia. Di sinilah kedaulatan menjadi realiti — iaitu dalam sistem yang digunakan oleh rakyat setiap hari.

20. Kementerian Digital Malaysia sedang memperkukuh asas-asas tersebut, namun cabaran sebenar adalah dari segi penerapan yang berkesan. Kerajaan harus menerajui usaha ini, baik sebagai pengawal selia mahupun pemangkin untuk memacu inovasi tempatan.

21. Pada masa yang sama, kita perlu memperluas skala ke peringkat serantau melalui ASEAN. Akhir sekali, kedaulatan bergantung kepada keupayaan kita untuk membina, menerapkan, dan mentadbir sendiri sistem-sistem ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

22. Perkara ini adalah fundamental kerana landskap global telah berubah. Akses dan keterbukaan tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti. Kedaulatan kini mesti dibina dan dilindungi secara sengaja dan terancang.

23. Jika kita tidak bertindak, kebergantungan akan semakin mendalam dari semasa ke semasa, namun dengan kejelasan dan disiplin, Malaysia mampu melakukan lebih daripada sekadar menyesuaikan diri — malah kita boleh memimpin, dengan berurusan dengan dunia mengikut acuan dan syarat kita sendiri.

24. Ini bukan sekadar tentang teknologi. Ini adalah tentang memastikan sistem yang mencorakkan masa depan kita kekal di bawah kawalan kita.

25. Hala tuju di hadapan kita adalah jelas. Kedaulatan tidak akan berlaku secara automatik, kerana ia mesti dibina dengan penuh tekad, dan ia mesti dibina bersama-sama.

26. Kerajaan tidak boleh memikul tanggungjawab ini sendirian. Pihak industri mesti tampil ke hadapan, bukan sekadar untuk mengambil bahagian, tetapi untuk membina, melabur, dan mengambil hak milik ke atas sistemsistem yang bakal menentukan masa depan kita.

27. Kita memerlukan setiap pemain — syarikat pemula (startups), perusahaan, penyelidik, pelabur — untuk bekerjasama dengan kami. Binalah di sini. Kukuhkan keupayaan di sini. Meluarlah menjangkaui sempadan kita. Tetapkan piawaian yang mencerminkan realiti kita. Dan pastikan apa yang dicipta dalam ekosistem kita menjana nilai sebenar bagi rakyat dan ekonomi kita.

28. Kerana akhirnya, saat ini tidak akan ditentukan oleh siapa yang bergerak dahulu, tetapi oleh siapa yang memilih untuk bertindak dengan matlamat yang jelas. Jika kita jelas dengan tujuan kita, dan berdisiplin dalam pelaksanaan, Malaysia tidak akan sekadar menyesuaikan diri dengan landskap baharu ini — malah kita akan mencorakkannya, mengikut acuan dan syarat kita sendiri.

Terima kasih.

#TAMAT#


0705026_TEKS UCAPAN_MONASH & MKINI TECH STACKS & STAKES FORUM.pdf

0.14MB

07052026_SPEECH_MONASH & MKINI TECH STACKS & STAKES FORUM.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026