Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock ( ) or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

Speech Collection

Fiesta Musikal & Kesenian Deepavali 2024

6 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Datuk A. Chandrakumanan Presiden, Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia

2. Yang Berbahagia Dato' Seri Ghandi Muthusamy Pengerusi, FWG Group

3. Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. S Prabakaran Pengerusi, Asia Security Services

4. Encik Muhammad Khalil Kader Mydin Pengerusi Program Yayasan Bank Rakyat

5. Mr Johnson Francis Pengerusi, Oscar Holiday

Rakan-rakan Media, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Vanakam, Selamat petang dan Salam Malaysia MADANI

1. Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Penganjur, Yang Berbahagia Datuk A. Chandrakumanan, dan ahli jawatankuasa beliau yang sudi mengundang saya ke program Fiesta Muzikal dan Kesenian Deepavali 2024.

2. Ucapan terima kasih juga ingin saya ajukan kepada pihak Tourism Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah memberikan sokongan mereka kepada acara ini.

3. Saya telah dimaklumkan bahawa program ini telah dianjurkan sejak 2008. Saya masih ingat lagi akan kehadiran saya ke program ini pada tahun 2018, ketika itu sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

4. Saya juga telah diberitahu oleh pihak penganjur bahawa acara ini telah dimasukkan ke dalam “Calendar of Event 2024” oleh Tourism Malaysia. Ini sekaligus memberi impak yang positif dari segi mempromosikan kebudayaan dan kesenian komuniti India di Malaysia, malah turut memaparkan kepelbagaian masyarakat dan warisan negara kita. Syabas kepada pihak penganjur!

Para hadirin sekalian,

5. Dalam beberapa hari nanti, kita akan menyambut Deepavali. Juga dikenali sebagai Pesta Cahaya, perayaan ini bukan hanya sekadar murukku, dan bunga api semata-mata. Ianya mempunyai maksud yang mendalam. Ini kerana cahaya merupakan satu unsur atau elemen yang amat penting di dalam kehidupan. Deepavali adalah untuk meraikan kemenangan cahaya terhadap kegelapan, kebaikan terhadap kejahatan, dan pengetahuan terhadap kejahilan.

6. Pesta sebegini pula merupakan platform yang penting untuk mempamerkan kekayaan budaya, tradisi, dan seni komuniti India. Dari irama yang memukau serta tarian yang menggembirakan, setiap persembahan yang disajikan adalah lambang warisan kita yang turut dinikmati segenap lapisan rakyat.

7. Acara ini menjadi lebih simbolik kerana ianya diadakan di Brickfields, yang lebih dikenali sebagai ‘Little India’. Dari manisan ke pakaian tradisional, Brickfields bukan sahaja tempat untuk menjamu selera atau membeli saree baharu. Ia melambangkan pusat kegiatan ekonomi kaum India di Malaysia.

8. Saya pasti ramai peniaga-peniaga di sini menggunakan pelbagai aplikasi digital untuk memudahkan proses jual-beli. Kalian semua sudah tentunya menggunakan platform media sosial untuk menjual produk serta menerima bayaran melalui aplikasi perbankan. Anda semua memainkan peranan yang penting dalam ekonomi digital negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

9. Kerajaan MADANI terus komited untuk merapatkan merapatkan kesenjangan ekonomi antara kaum. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi kemajuan komuniti India di Malaysia. Ini terbukti apabila Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 baru-baru ini. Beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM130 juta untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India.

10. Di samping itu, sebanyak RM 10 juta juga telah diperuntukan bagi penyelarasan keperluan untuk perkampungan kaum India. Golongan belia India juga akan mendapat manfaat melalui program MYInsentif KESUMA untuk membantu meningkatkan kemahiran mereka.

11. Kerajaan MADANI mengutamakan pembelajaran yang selesa di sekolah. Sebanyak RM 1 bilion telah diperuntukkan untuk menyelenggara semua jenis sekolah yang uzur, termasuk sekolah Tamil.

12. Selain itu, dana bantuan sebanyak RM 50 juta juga disediakan bagi kerja-kerja baik pulih dan selenggaraan rumah-rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar di seluruh negara di bawah inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Para hadirin sekalian,

13. Kerajaan ini tekad untuk memastikan tiada satu komuniti di Malaysia terpinggir dalam arus kemajuan. Justeru itu, kerajaan MADANI akan terus menolong semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti India, dengan matlamat kita semua berjaya bersama sebagai rakyat Malaysia.

14. Oleh yang demikian, saya amat gembira melihat Persatuan Aduan Rakyat Malaysia aktif menolong mereka yang memerlukan. Datuk Chandrakumanan memberitahu saya bahawa Persatuan Aduan Rakyat Malaysia akan memberi bantuan kepada lebih kurang 500 keluarga dari golongan B40.

15. Petang tadi, 15 artis tempatan menerima bantuan Deepavali sebanyak RM1,000 setiap seorang melalui Yayasan Artist 1Malaysia. Saya juga diberitahu bahawa Yayasan Bank Rakyat, Yayasan MRCB, Nestle dan Kumar’s Bangsar telah tampil untuk memberi tajaan dan bantuan kepada yang mereka yang memerlukan melalui acara ini. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Cogan kata ‘Malaysia Truly Asia’ memang tepat menggambarkan negara tercinta yang kaya dengan keunikan dari pelbagai aspek, termasuk diversiti kaum. Dari rumah terbuka ke pesta kesenian sebegini, kita dapat melihat orang ramai menyambut perayaan secara bersama dan penuh bermakna.

17. Marilah kita raikan perbezaan kita dan gunakan teknologi sebagai alat untuk mengukuhkan perpaduan serta memajukan masyarakat kita. Dengan semangat yang tinggi dan kerjasama yang erat, kita pasti dapat mencipta masa depan yang lebih bermakna untuk semua.

18. Hargailah keunikan masyarakat kita demi memastikan aspirasi Malaysia MADANI dapat dicapai. Akhir kata, semoga perayaan Deepavali menjadi titik tolak semakin eratnya ikatan silaturrahim antara kita, dan ikatan tersebut berkekalan hingga selamanya. Deepavali naal valthukaal! Nandri, terima kasih.

-TAMAT-


28.10.2024_TEKS UCAPAN_ FIESTA MUSIKAL & KESENIAN DEEPAVALI 2024.pdf

0.32MB

Jata Negara

Ministry of Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Follow Us

All Rights Reserved © 2024