KERAJAAN AMBIL LANGKAH PROAKTIF MENANGANI IMPLIKASI ETIKA, UNDANG-UNDANG BERKAITAN KECERDASAN BUATAN
KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2024 – Kerajaan MADANI telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi menangani implikasi etika, undang-undang, ekonomi dan sosial berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Ini termasuk menyediakan persekitaran dan ekosistem yang menyokong reka bentuk dan pembangunan AI secara beretika dan bertanggungjawab.
Menteri Digital Gobind Singh Deo, berkata Kementerian Digital Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), yang akan diluncurkan pada penghujung tahun ini, bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pemain utama AI dalam rantau Asia Tenggara serta landskap global yang lebih luas.
“NAIO berupaya untuk meningkatkan keupayaan AI negara dengan memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor dan menyokong integrasi AI ke dalam rangka kerja kerajaan, industri dan masyarakat. Selain itu, NAIO akan turut menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan prestasi perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan,” kata Gobind.
“Susulan daripada penutupan iklan kekosongan jawatan di NAIO pada 13 Oktober 2024, sejumlah 1,254 permohonan telah diterima daripada calon yang berminat untuk mengisi kekosongan jawatanjawatan penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Dasar AI dan Pengarah AI Innovation Exchange NAIO.
Perkara ini sekali gus akan dapat memastikan bahawa calon yang berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang AI akan dilantik, demi memastikan pembangunan dalam aspek dasar dan inovasi AI di Malaysia akan berada pada landasan yang sewajarnya.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai tahap keupayaan AI di kalangan rakyat Malaysia dan perancangan Kementerian Digital dalam menangani implikasi etika, undang undang, ekonomi, dan sosial berkaitan AI serta alat yang dikuasakan AI untuk sektor penting negara.
Gobind berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluncurkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara atau Artificial Intelligence Governance and Ethics (AIGE) pada 20 September 2024. Dokumen AIGE ini mengadaptasi tujuh prinsip utama yang diperlukan bagi pembangunan dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.
“Garis panduan yang turut sama dimurnikan oleh Kementerian Digital akan melihat ekosistem AI secara menyeluruh yang meliputi pengguna, penggubal polisi kerajaan/ agensi/ organisasi/ institusi, pereka serta penyedia dan pembekal teknologi. Ianya supaya nilai-nilai sosial dan etika dapat dipatuhi bagi memastikan teknologi AI digunakan untuk kesejahteraan umum tanpa mengabaikan hak kemanusiaan dan keamanan individu,” kata Gobind.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Digital