SIARAN MEDIA
MAJLIS PELUNCURAN GARIS PANDUAN PENGADAPTASIAN KECERDASAN BUATAN (AI) SEKTOR AWAM
PUTRAJAYA, 27 Februari 2025 – Jabatan Digital Negara (JDN), Kementerian Digital (KD) telah menganjurkan Majlis Peluncuran Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam pada 27 Februari 2025 (Khamis) bertempat di Hotel Le Meridien, Putrajaya.
Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam ini telah dibangunkan oleh JDN dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai satu rujukan khas sektor awam untuk memastikan pembudayaan dan penggunaan AI diterapkan dengan lebih bertanggungjawab dan beretika, menggalakkan kecekapan dan keberkesanan teknologi serta inovasi AI di kalangan penjawat awam.
Majlis telah dirasmikan oleh YB Menteri, Tuan Gobind Singh Deo bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), YBhg. Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim. Majlis juga telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Jabatan, Ketua Pegawai Digital (CDO), Pengurus ICT Sektor Awam dan rakan industri. Antara pengisian majlis adalah Sesi Perkongsian Use Case AI di Sektor Awam serta Forum Etika dan Tadbir Urus AI Sektor Awam manakala ia akan diikuti secara langsung oleh umum melalui streaming di laman sosial rasmi JDN.
Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam yang dibangunkan oleh Bahagian Perundingan Digital JDN ini mengandungi enam (6) bab dan tiga (3) lampiran yang merupakan rujukan agensi sektor awam. Antara kandungan garis panduan ini ialah penerangan tentang pengenalan AI, prinsip etika yang perlu dipatuhi, peranan dan tanggungjawab aktor, pengurusan risiko, kaedah pengadaptasian dan turut disediakan templat penilaian kendiri untuk agensi mengenal pasti skop dan impak AI di agensi sektor awam.
Peluncuran Garis Panduan ini membuktikan komitmen JDN dalam memacu transformasi pendigitalan sektor awam terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) selaras visi "Kerajaan Digital Mampan Pemangkin Negara Digital" menerusi pembangunan ekosistem AI sektor awam yang inovatif, inklusif dan mesra rakyat.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Digital