Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock ( ) or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

Speech Collection

Majlis Peluncuran Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdesan Buatan (AI) Sektor Awam

10 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Dato' Mohd Shaiful Ibrahim Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi)

2. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

3. Yang Berusaha Dr. Fazidah Abu Bakar Ketua Pengarah, Jabatan Digital Negara

4. Yang Berusaha Tuan Anuar Fariz Fadzil Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia

Ketua - Ketua Pengarah Jabatan,

Ketua Perunding ICT dan Ketua Pegawai Maklumat Sektor Awam,

Ketua - Ketua Jabatan Agensi Kerajaan & Swasta,

Rakan - Rakan Media,

Hadirin Yang Dihormati Sekalian.

Selamat Petang, Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.

1. Hari ini, kita berkumpul dalam satu majlis penting—Peluncuran Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam. Ini bukan sekadar peluncuran dokumen, tetapi satu langkah ke hadapan dalam usaha kita mereformasi perkhidmatan awam agar lebih cekap, responsif, dan inklusif selaras dengan aspirasi MADANI.

2. Setinggi-tinggi tahniah saya ingin ucapkan kepada pasukan daripada Jabatan Digital Negara (JDN) dan MDEC, kedua-dua agensi di bawah Kementerian Digital yang telah bertungkus lumus bekerjasama dalam membangunkan garis panduan ini dan seterusnya menjayakan majlis peluncuran pada hari ini.

KEPENTINGAN KECERDASAN BUATAN (AI) PERINGKAT NASIONAL DAN SEKTOR AWAM

3. Kecerdasan Buatan atau AI bukan lagi sekadar teknologi masa depan, tetapi realiti hari ini. Dengan AI, kita mampu mempercepatkan pemprosesan data, memperkukuh bidang analitik dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Jika kita lihat negara-negara maju, AI telah digunakan untuk meramal keperluan rakyat, mengoptimumkan sumber, dan memudah cara pentadbiran awam. Oleh itu, Malaysia tidak boleh ketinggalan.

4. Di peringkat nasional, penggunaan AI yang cekap dan beretika bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan Kerajaan tetapi juga menarik keyakinan pelabur serta memacu Malaysia sebagai hab digital serantau. Sebagai contoh, kita dapat melihat kini telah banyak syarikat-syarikat gergasi penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan yang telah mula bertapak membina pusat data mereka di negara kita. Ini memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi, pembangunan bakat serta memberi jaminan yang lebih baik daripada aspek kedaulatan data.

5. Melalui inisiatif seperti Pelan Hala tuju AI Kebangsaan 2021-2025 (National AI Roadmap) dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) pada 12 Disember 2024, kerajaan komited memastikan teknologi ini terus-menerus dimanfaatkan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, mempercepat proses membuat keputusan berdasarkan data, serta mengukuhkan keselamatan siber.

6. Oleh itu, kita juga mahu sektor awam kita bergerak seiring, tidak hanya mengikuti perkembangan teknologi ini, tetapi menerajuinya. Dengan AI, agensi sektor awam boleh mengurangkan karenah birokrasi, mempercepatkan perkhidmatan kerajaan, dan yang lebih penting, memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan data dan fakta yang kukuh.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

ETIKA DAN TADBIR URUS AI

7. Dalam kegigihan kita untuk mengadaptasi AI, kita juga harus memastikan bahawa teknologi ini dikawal selia dengan baik. Tanpa garis panduan etika dan tadbir urus yang jelas, AI boleh disalahgunakan dan menimbulkan risiko kepada keselamatan data, privasi, serta hak asasi manusia.

8. Garis panduan yang diluncurkan hari ini akan menjadi asas kepada penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika dalam sektor awam. Prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, dan kesaksamaan mesti menjadi tonggak utama. Kita tidak boleh membiarkan AI menjadi 'kotak hitam' yang membuat keputusan tanpa mekanisme semak dan imbang yang kukuh.

KEPENTINGAN DAN RANTAIAN KE HADAPAN GARIS PANDUAN PENGADAPTASIAN AI DALAM SEKTOR AWAM

Para hadirin yang dihormati sekalian,

9. Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan. Dengan adanya garis panduan ini juga, kita akan dapat meningkatkan pengadaptasian AI di sektor awam, memastikan AI dalam sektor awam digunakan secara bertanggungjawab, adil, serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengabaikan prinsip keadilan sosial dan keterangkuman.

10. Di samping itu, kita juga perlu terus menyesuaikan diri dengan perkembangan AI, membina keupayaan tenaga kerja kita, dan memastikan bahawa setiap keputusan yang dibuat dengan 5 bantuan AI sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.

11. Bercakap tentang perkhidmatan berpaksikan rakyat, selain daripada pembangunan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam ini, Kementerian Digital juga komited untuk menyediakan perkhidmatan digital yang terbaik untuk bukan sahaja penggunaan penjawat awam malahan untuk seluruh rakyat.

12. Pada 6 Disember 2024, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah penting dengan meluluskan penubuhan GovTech Malaysia, sebuah inisiatif yang bakal mengubah landskap digital negara. Hari ini, saya berasa amat berbangga untuk melancarkan produk pertama dari GovTech Malaysia, iaitu MyGOV Malaysia, sebuah Aplikasi Pusat Sehenti Digital Kerajaan Malaysia yang akan merevolusikan cara rakyat berinteraksi dengan kerajaan.

13. Pada peringkat permulaan, aplikasi MyGOV Malaysia ini akan memfokuskan perkhidmatan kepada penjawat awam, sebagai langkah awal untuk memastikan aplikasi ini berfungsi dengan lancar dan memenuhi keperluan pengguna. Namun, kami tidak berhenti di situ. Seawal Jun 2025, aplikasi ini akan diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia dan perkhidmatan untuk sektor perniagaan pada seawal Oktober 2025, membolehkan mereka mengakses pelbagai perkhidmatan awam secara mudah dan pantas melalui telefon pintar atau peranti mereka. Perkhidmatan seperti pembayaran cukai, permohonan permit, pembaharuan dokumen, dan banyak lagi akan dapat dilakukan dengan hanya beberapa klik sahaja.

14. Dengan pelancaran aplikasi ini, proses perkhidmatan kerajaan akan menjadi lebih cekap, transparent, dan mudah diakses. Rakyat tidak lagi perlu menghabiskan masa beratur panjang di kaunter atau membuat perjalanan jauh ke pejabat kerajaan. Aplikasi ini juga akan menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan memperkasa budaya digital dalam kalangan rakyat Malaysia. Antara kategori perkhidmatan yang akan ditawarkan melalui MyGOV Malaysia termasuklah paparan maklumat terkini, semakan status, pembayaran, serta permohonan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara langsung.

15. Saya juga sangat memahami kebimbangan rakyat yang sering kali perlu mengisi borang yang sama berulang kali apabila berurusan dengan kerajaan. Justeru, kami akan mempermudahkan proses dalam aplikasi MyGOV Malaysia, seperti pengisian borang secara automatik. Teknologi ini akan mengurangkan kerumitan rakyat dengan membolehkan pengisian borang dilakukan secara pantas dan efisien, tanpa perlu mengulangi pengisian maklumat yang sama.

16. Selain itu, kami akan turut memperkenalkan Chatbot AI Pintar dalam aplikasi ini yang akan memberikan bantuan 24 jam, 7 hari seminggu. Chatbot ini bukan sahaja memberikan sokongan kepada pengguna, tetapi juga mengurangkan beban kerja pegawai awam yang bertugas di kaunter kerajaan, selaras dengan arahan YBhg. Ketua Setiausaha Negara. Ini adalah langkah penting untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif dan efisien.

17. Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran soft launching MyGOV Malaysia, yang pada fasa pertama ini, akan menawarkan perkhidmatan untuk penjawat awam daripada sebelas agensi terpilih. Ini merupakan langkah percubaan untuk menguji dan memastikan aplikasi ini benar-benar memenuhi keperluan rakyat secara berterusan. Pelancaran rasmi dan peluasan aplikasi ini kepada seluruh rakyat Malaysia dijangka akan berlangsung pada suku kedua 2025, dengan lebih banyak perkhidmatan tambahan yang akan memberi manfaat besar kepada seluruh negara.

18. Dengan segala usaha ini, MyGOV Malaysia bukan sekadar sebuah aplikasi, tetapi ia adalah simbol komitmen kerajaan untuk memudahkan hidup rakyat, menjadikan perkhidmatan awam lebih cekap, dan mempercepatkan transformasi digital negara. Inilah masa depan kerajaan digital – cepat, mudah, dan berkesan!

PERASMIAN

Hadirin yang dihormati sekalian,

19. Akhir kata, sekali lagi saya berharap, dengan adanya Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam yang akan diluncurkan hari ini, ia akan menjadi satu rujukan penting bagi memastikan penggunaan AI dalam sektor awam dibuat secara bertanggungjawab, beretika, berkesan dan berlandaskan nilai MADANI di samping turut menjadi salah satu pemangkin bagi reformasi perkhidmatan awam.

20. Saya yakin bahawa dengan kerjasama antara sektor awam, swasta, akademia dan komuniti, Malaysia akan terus maju sebagai negara yang cemerlang dalam penggunaan AI, bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan kerajaan tetapi juga untuk membawa manfaat kepada seluruh rakyat dan ekonomi negara.

21. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Peluncuran Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam.

Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


27022025_TEKS UCAPAN_MAJLIS PELUNCURAN GARIS PANDUAN PENGADAPTASIAN KECERDASAN BUATAN (AI) SEKTOR AWAM.pdf

0.21MB

Jata Negara

Ministry of Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Follow Us

All Rights Reserved © 2025