PELABURAN SERTA PELAKSANAAN STRATEGIK PENTING UNTUK AI GENERATIF MENJADI PEMANGKIN KEPADA PERKHIDMATAN KERAJAAN DAN SWASTA YANG LEBIH CEKAP
KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2024 - Aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) Generatif boleh bertindak sebagai pemangkin kepada perkhidmatan kerajaan dan swasta yang lebih cekap, responsif dan telus melalui pelaburan dan pelaksanaan yang strategik.
Menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo, AI Generatif berpotensi besar dalam merevolusikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta.
“Malaysia Centre4IR telah mengunjurkan bahawa AI Generatif boleh menjana sebanyak USD 113.4 bilion dalam kapasiti produktif bagi ekonomi Malaysia,” kata Gobind dalam jawapan pertanyaan lisan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai potensi kecerdasan buatan generatif yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Digital yang mampu bantu meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan kerajaan serta bagi sektor swasta.
“Antara keupayaan AI Generatif adalah termasuk pengautomasian tugasan rutin, pengalaman interaksi yang unik dengan rakyat Malaysia serta peningkatan kecekapan dalam pembuatan keputusan. Selain itu, analisis data yang didorong oleh teknologi AI juga boleh mengenal pasti trend terkini dalam membantu kerajaan membuat jangkaan keperluan rakyat serta penyediaan sumber tenaga yang lebih cekap.”
Tambah Gobind, penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini akan memanfaatkan AI Generatif dengan memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor dan menyokong penerimagunaan AI.
“Selain itu, NAIO akan turut menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan prestasi perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan.”
Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara (JDN) juga sedang meneroka potensi AI Generatif yang boleh diaplikasikan dalam sektor kerajaan dan swasta. Antaranya ialah automasi proses dan pengurusan data; perkhidmatan pelanggan; pembangunan kandungan, pendidikan dan latihan; analisis data dan ramalan, serta keselamatan siber.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Digital